Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Padah memiliki kad pengenalan palsu, 13 warga Indonesia dikenakan hukuman penjara 10 hingga 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Semua individu terbabit terdiri daripada 10 wanita serta tiga lelaki berusia antara 21 hingga 61 tahun diarah menjalani hukuman berkenaan bermula tarikh mereka ditahan iaitu pada 14 Ogos lalu.

Semua tertuduh mengaku bersalah memiliki kad pengenalan palsu di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), di sini, pada 2 petang, 14 Ogos lalu selepas ditahan sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pendakwaan dilakukan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan.

Majistret Muhamad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap enam tertuduh.

Manakala tujuh lagi tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 bulan oleh Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa dari JPN Putrajaya, Zulkarnain Ahmad dan Zulkifli Idris, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 1:56 PM
MELAKA 22 FEBRUARI 2018. Anggota Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri memeriksa identiti pasangan suami isteri yang mendakwa berasal dari Sandakan, Sabah mendapati MyKad digunakan milik individu lain ketika serbuan dalam Ops ID di Taman Peruna, Sungai Udang. NSTP/ RASUL AZLI SAMAD