Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang ibu tunggal warga Filipina dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu yang dibelinya pada harga RM5,000.

Tertuduh, Rowena Llenado, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki MyKad palsu di atas nama Rowena Llenado pada 3 Julai lalu di sebuah rumah beralamat di Universiti Apartment 2, di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-dua sekali.

Tertuduh turut mengaku membeli kad pengenalan berkenaan daripada bapa saudara kepada bekas suaminya bernilai RM5,000.

Mengikut fakta kes, semakan yang dibuat oleh Jabatan Pendaftaran Negara mendapati kedua-dua cap ibu jari tertuduh tiada di dalam rekod jabatan.

Semakan lanjut oleh Bahagian Kad Pengenalan JPN Negeri mendapati nombor kad pengenalan 820728-12-6006 atas nama Rowena Llenado ini belum pernah dikeluarkan dan taraf kewarganegaraan sijil kelahirannya adalah bukan warga negara.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN, Nurul Fariza Abdulah memohon hukuman berat dan maksimum diberikan terhadap tertuduh kerana menggunakan dokumen MayKad palsu.

"Penggunaan kad pengenalan palsu berstatus warga negara oleh individu bukan warga negara pastinya menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara kita.

"Mengambil iktibar dengan kes tembakan seorang pegawai bank pada 2013 oleh pengawal keselamatan yang menggunakan kad pengenalan palsu.

"Oleh itu, saya mohon hukuman berat dan maksimum diberikan agar dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat di luar sana," katanya.

TERTUDUH (tudung merah) diiringi dua pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sabah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selepas didapati bersalah menggunakan MyKad palsu. FOTO Juwan Riduan
TERTUDUH (tudung merah) diiringi dua pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sabah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selepas didapati bersalah menggunakan MyKad palsu. FOTO Juwan Riduan

Tertuduh yang diwakili peguam PJ Pereira merayu agar hukuman ringan dikenakan memandangkan tertuduh adalah ibu tunggal dan mempunyai tiga anak.

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 20 bulan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 12:34 PM