TERTUDUH (tengah) dihukum penjara selepas mengaku bersalah. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
TERTUDUH (tengah) dihukum penjara selepas mengaku bersalah. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Lelaki warga Filipina dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki MyKad palsu, minggu lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik terhadap Sabri Adolah, 36, dari Zamboanga, Filipina selepas tertuduh mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati memiliki MyKad palsu atas nama Mohd Nasir Jakie bernombor kad pengenalan 830415-12-5019 dan beralamat di Kampung Likas, Jalan Majsid, Kota Kinablau, Sabah.

Kesalahan tertuduh itu dikesan di Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Mekaka Tengah, Wisma Persekutuan, MITC, di sini, kira-kira 11 malam pada 20 Julai lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara maksima tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Mohd Nasrom Yusof meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran sebelum tertuduh merayu hukuman diringankan.

Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua-dua pihak, Mohd Asri menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dari tarikh ditangkap pada 20 Julai 2016 dan denda sebanyak RM5,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 3:35 PM