ISKANDAR (kiri) berbincang dengan Chong Wei (kanan)  di Kompleks Sukan Kunshan.
ISKANDAR (kiri) berbincang dengan Chong Wei (kanan) di Kompleks Sukan Kunshan.

Kunshan, China: Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei menegaskan keputusan mengejut untuk tidak menurunkan Iskandar Zulkarnain Zainuddin selaku perseorangan kedua pada perlawanan pertama bertemu England semalam mempunyai sebab tersendiri.

Jelas kapten skuad negara itu, keputusan yang dilakukan oleh barisan kejurulatihan selepas mengadakan perbincangan dengan semua pemain adalah untuk memberi ruang memilih siapakah yang terbaik antara Chong Wei Feng dan Goh Soon Huat untuk diletakkan selaku perseorangan ketiga apabila bertemu Jerman dan Korea Selatan masing-masing pada hari ini dan esok.

Semalam ketika bertemu England, Wei Feng diletakkan selaku perseorangan kedua sementara Soon Huat menggalas tugas selaku perseorangan ketiga.

“Kami tahu keupayaan Iskandar dan sebab itu hari ini (semalam) kami rehatkannya dulu kerana kami mempunyai strategi tersendiri.

“Peluang diberikan kepada Wei Feng dan Soon Huat untuk bermain kerana dari situ kami akan tahu siapakah yang terbaik antara mereka berdua untuk diletakkan selaku perseorangan ketiga selepas ini,” katanya pada sidang media selepas menewaskan Toby Penty 21-15, 21-11 untuk menyumbang mata pertama skuad negara.

Jelas Chong Wei, keputusan itu juga bagi memastikan skuad Piala Thomas negara mempunyai barisan pemain terbaik sekali gus mampu untuk melakar kemenangan selesa apabila bertemu Jerman dan Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 9:14 AM