Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Goh Soon Huat menerima dengan hati terbuka kehadiran jurulatih ketiga, Indra Wijaya dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya di dalam latihan.

Soon Huat, 25, mahu memberikan yang terbaik dan dia yakin tidak berdepan sebarang masalah walaupun siapa saja dilantik sebagai jurulatih negara.

“Saya sebenarnya tidak mahu komen apa-apa mengenai kehadiran jurulatih baru dalam skuad perseorangan lelaki negara. Ini kerana saya sudah sedia untuk memberi kerjasama dengan sesiapa saja,” kata pemain kelahiran Melaka itu.

Jelasnya, ketika di Grand Prix (GP) Emas Terbuka Macau November tahun lalu, dia sempat bertemu dengan Indra ketika beraksi dalam perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki menentang wakil Korea Selatan Jeon Hyeok Jin.

“Saya ada bersembang dengannya ketika di Macau, walaupun ketika itu saya bertemu dengan pemain lawan yang juga anak didiknya. Bagi saya beliau seorang yang baik dan saya rasa mudah dibawa berbincang.

“Dari segi ketegasan saya tidak pasti, tetapi saya rasa tidak menjadi masalah untuk berdepan dengan segala latihan keras,” kata Soon Huat yang sekarang ini menduduki ranking ke-59 dunia.

Indra akan melatih pemain perseorangan lelaki negara di Stadium Juara, Bukit Kiara seandainya dua lagi jurulatih, Hendrawan dan Tey Seu Bock menemani Datuk Lee Chong Wei ke mana-mana kejohanan yang disertai bekas pemain nombor satu dunia itu sepanjang tahun ini.

Chong Wei sendiri mengakui dia memerlukan kedua-dua jurulatih berkenaan sekali gus, di mana salah seorang akan bertindak sebagai jurulatih di tepi gelanggang manakala seorang lagi akan meninjau serta memantau aksi pemain lawan.

Ketiadaan kedua-dua jurulatih itu di tanah air memaksa BAM mendapatkan khidmat Indra untuk melatih pemain perseorangan lelaki yang lain seperti Liew Daren, Chong Wei Feng, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soon Huat, Soong Joo Ven, Soo Teck Zhi, Chong Yee Han, Cheam June Wei dan R Satheishtharan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 5:06 AM