Perjalanan awal pagi ke Asahan di Jasin, Melaka amat mengujakan apabila sepanjang perjalanan dari pusat bandar sejauh 65 kilometer 'terhidang' pemandangan indah terutama Gunung Ledang.

Gunung Ledang boleh dilihat dengan jelas ketika membelok ke Simpang Bekoh dari bandar Jasin dan pemanduan di awal pagi di kawasan itu amat menyeronokan kerana tiada kesesakan.

Menggunakan kereta Honda City 1.5L V, pemanduan memang santai dan selesa apatah lagi dengan sedan berkuasa 119 bhp itu, perjalanan di laluan berbukit ke Asahan bukan satu masalah.

Pengalaman memandu kenderaan keluaran kilang Honda di Alor Gajah, Melaka itu suatu kepuasan kerana dengan enjin berkuasa 1.5 liter empat silinder dan 16 injap SOCH i-VTEC yang turut dilengkapi pancitan bahan api diprogram (PGM-F) ia mampu memberi penggunaan bahan api sehingga 17.56 kilometer per liter.

Walaupun kedudukan Asahan agak terpencil dan sering ketinggalan sebagai lokasi tumpuan pelancongan, jika datang sendiri ke sini, anda akan menghargai khazanah alam dan udara segar.

Asahan sangat unik kerana terdapat lokasi diberi nama Laman Tiga Budaya iaitu sudut yang menemukan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan. Pengunjung boleh berada di setiap negeri hanya dengan satu langkah.

Penduduk setempat mendakwa puncak Gunung Ledang hanya dapat dilihat dari Melaka dan lebih jelas di Asahan, walaupun gunung itu berada di Johor.

Di kawasan ini juga terdapat Air Terjun Asahan untuk perkelahan dan penyejuk badan.

Bagi pencinta alam semula jadi, Asahan memang serasi untuk mereka kerana mempunyai kawasan luas untuk diterokai menerusi aktiviti 'jungle trekking' dan perkhidmatan bagi aktiviti ini boleh didapati menerusi MSN Saujana Asahan.

Penggemar aktiviti lasak, perkampungan survival (ikhtiar hidup) sebagai tempat mengenali dan belajar ilmu hidup di hutan turut dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan.

Kawasan kaki Gunung Ledang itu terdapat banyak bukit yang boleh diteroka bagi melihat keindahan alam dan ini amat sesuai bagi mereka yang suka membuat pendakian atau melakukan aktiviti berbasikal lasak.

Bagi penggemar fotografi, Asahan pilihan terbaik untuk merakamkan gambar landskap dengan kawasan hutan dan bentuk muka bumi yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, antaranya Kolam Air Asahan iaitu tasik yang berlatar belakangkan Gunung Ledang.

Jika mahu bermalam, MSN Saujana Asahan menyediakan tempat penginapan termasuk tapak perkhemahan dengan kadar bayaran serendah RM10 hingga RM150 sehari.

Kenderaan yang diuji pandu ini amat sesuai untuk kegunaan harian dan perjalanan jauh dengan ruangan bagasi yang luas sehingga boleh dimuatkan sebuah basikal lasak.

Kenderaan dengan reka bentuk moden itu turut dilengkapi pelbagai ciri keselamatan, antaranya sistem brek anti-kunci (ABS), brek bantuan (BA), pengagih brek eletronik (EBD), dua beg udara SRS hadapan, i-Side airbags, dan beg udara sisi.

Ciri keselamatan lain termasuk keserasian kejuruteraan termaju (ACE) dan teknologi kawalan tekanan-g bagi badan kenderaan dan bantuan penstabil kenderaan yang akan membuatkan pemandu berasa selamat serta selesa untuk memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 5:00 AM