MOHAMAD Nizam (tiga dari kanan) mengadakan perbincangan dengan bahagian teknikal kejohanan.
MOHAMAD Nizam (tiga dari kanan) mengadakan perbincangan dengan bahagian teknikal kejohanan.

Jasin: Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan bersedia menyambut kehadiran peserta Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia hujung minggu ini.

Lokasi latihan atlet negara itu dipilih penganjur sebagai venue pelepasan dan penamat ketika perlumbaan itu berlangsung pada Sabtu ini.

Penyelia MSN Saujana Asahan (Bahagian Harta dan Kemudahan) Mohamad Nizam Abu Talib berkata, pihaknya memberi kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan kejohanan itu dan sudah membuat persiapan sejak dua minggu lalu.

Katanya, penganjuran kejohanan MTB ini dianggap cukup besar yang bakal disaingi peserta dari dalam dan luar negara.

“Penganjuran acara ini dianggap ‘win-win situation’ (situasi menang-menang) kerana jika penganjur berjaya menjayakan kejohanan ini, kami pula dapat mempromosikan tempat kami di seluruh negara.

“Dengan adanya acara seperti ini, saya pasti akan dapat membuka mata terutamanya peserta luar negeri bahawa wujud lokasi pelancongan menarik di Melaka,” katanya.

Mohamad Nizam berkata, peserta tidak akan rugi kerana Asahan lokasi menarik untuk dikunjungi, dikelilingi kehijauan, selain pemandangan indah Gunung Ledang yang puncaknya hanya boleh dilihat dari negeri ini.

“Jika anda ke Johor sekalipun, puncak Gunung Ledang tidak dapat dilihat, selain itu pengunjung dapat menikmati pemandangan menarik tasik tadahan air terletak bersebelahan Saujana Asahan yang menjadi latar belakang Gunung Ledang.

“Banyak tempat unik dan menarik di Asahan seperti Laman Tiga Budaya yang menjadi tempat pertemuan tiga penjuru sempadan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

“Antara tempat lain yang perlu dilawati ialah perkampungan Orang Asli Sungai Mering dan Air Terjun Asahan,” katanya.

Beliau berkata, perkampungan survival atau ikhtiar hidup turut menarik untuk dikunjungi apa lagi pemiliknya menyediakan jurulatih bertauliah untuk memimpin pengunjung belajar mengenai ilmu ikhtiar hidup di hutan selain ‘jungle trekking’.

Katanya, Asahan amat sesuai bagi kegiatan eko-pelancongan apatah lagi dijadikan sebagai pusat pelancongan sukan.

“Pelbagai aktiviti sukan selain mountain bike boleh dijalankan di sini, antaranya maraton dan aktiviti pacuan empat roda,” katanya.

Menurut Mohamad Nizam, Saujana Asahan sendiri menyediakan kemudahan penginapan membabitkan chalet, rumah kluster, bilik hotel, asrama, rumah VIP dan tapak khemah.

“Harga yang ditawarkan ini bermula dengan RM10 dan RM150 bergantung kepada tempahan awal pengunjung,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:09 AM