RAVICHANDRAN berkongsi ilmu sepanjang pendakian.
RAVICHANDRAN berkongsi ilmu sepanjang pendakian.
Muhamaad Razis Ismail


Menjadi malim gunung, bukan sekadar memerlukan kekuatan fizikal, malah ilmu pengetahuan sangat penting sebagai persediaan untuk berdepan sebarang situasi.

Menyedari perkara itu, program 'Latihan Everest 3.0 Gunung Ledang Bersama Ikon Pendaki Everest' dilaksanakan selama dua hari pada 28 Januari lalu di Asahan, Melaka untuk memberi pendedahan kepada malim gunung Melaka.

Uniknya, program anjuran Terrex Outdoor Recreation Center dan Global Expedition Consultant dengan kerjasama Kompleks MSN Saujana Asahan, Majlis Perbandaran Jasin dan Asahan Theme Park itu turut disertai pendaki Everest negara, T Ravichandran.

Selain berkongsi ilmu mengenai pendakian gunung, ia adalah sebahagian latihan Ravichandran untuk menawan gunung tertinggi di dunia itu buat kali kedua pada tahun ini.

Di samping itu, program ini bertujuan mempromosikan produk pelancongan di sekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Asahan termasuk Kompleks MSN Saujana Asahan, Asahan Theme Park dan inap desa milik masyarakat setempat.

Koordinator program, Mohamad Nizam Abu Talib berkata, seramai 20 peserta terdiri daripada malim gunung dan wartawan terbabit secara langsung dalam program ini.

Katanya, objektif utama program ini adalah bertujuan melatih malim Gunung Melaka.

"Kami mahu melahirkan pemandu pelancong Gunung Melaka yang berpengetahuan dan berkemahiran memandangkan mereka adalah penduduk setempat.

PESERTA menawan puncak Gunung Ledang.
PESERTA menawan puncak Gunung Ledang.

"Mereka bertuah apabila diberi tunjuk ajar secara teori dan praktikal daripada Ravichandran yang cukup mahir dengan selok-belok pendakian," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pemilihan Gunung Ledang melalui trek Asahan ini sebagai lokasi latihan kerana ia sangat sesuai untuk melatih malim gunung mengenai pendakian.

"Laluan ini agak mencabar dari segi fizikal dan mental pendaki. Oleh itu, ia dapat beri pendedahan yang sangat berkesan kepada malim gunung ketika berdepan situasi sebenar," katanya.

Jelasnya, program bermula dengan mendengar taklimat secara teori yang disampaikan Ravichandran mengenai ilmu pendakian.

"Pada keesokan hari, seawal 8 pagi seramai 20 peserta dengan dibantu tiga pemandu arah dari Taman Negara Gunung Ledang memulakan pendakian untuk menawan puncak Gunung Ledang.

"Sepanjang perjalanan, Ravichandran turut memberi tunjuk ajar kepada peserta berkenaan teknik pendakian secara praktikal," katanya.

FAIRUL Nizam (tengah) bersama peserta.
FAIRUL Nizam (tengah) bersama peserta.

Nizam berkata, selepas empat jam pendakian, semua peserta tiba di puncak Gunung Ledang pada 12 tengah hari.

"Selepas berehat dan makan tengah hari, semua peserta memulakan perjalanan turun. Alhamdulillah semua peserta selamat tiba pada 6 petang.

"Kemudian program diakhiri dengan majlis penyampaian sijil kepada peserta yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Fairul Nizam Roslan," katanya.

Katanya, rata-rata peserta yang ditemui memberi maklum balas positif menerusi program yang dilaksanakan ini.

"Mereka berpendapat pendedahan ini amat berguna sebagai persediaan untuk membawa peminat aktiviti rekreasi mendaki Gunung Melaka.

"Melihat kejayaan program ini, pada 20 Februari depan, satu lagi program diadakan di Gunung Melaka yang akan turut disertai Fairul Nizam bersama malim gunung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 6:43 AM