KOMPLEKS MSN Saujana Asahan terletak di kaki Gunung Ledang.
KOMPLEKS MSN Saujana Asahan terletak di kaki Gunung Ledang.
BANGLO bercirikan rumah tradisional Melayu Melaka.
BANGLO bercirikan rumah tradisional Melayu Melaka.
ANTARA tempat untuk aktiviti lasak yang disediakan di Kompleks MSN Saujana Asahan.
ANTARA tempat untuk aktiviti lasak yang disediakan di Kompleks MSN Saujana Asahan.
Oleh Norfaisal Jahuri

Dengan bayaran bilik standard serendah RM60, pengunjung dijamin menikmati pengalaman percutian menarik dengan suasana keindahan kaki Gunung Ledang di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan di Jasin, Melaka.

Terletak 65 kilometer dari pusat bandar, Kompleks MSN Saujana Asahan ialah pusat latihan atlet negara, kini menjadi tarikan pelancong sejak dibuka pada 2005.

Terletak bersebelahan tasik Kolam Air Asahan, tempat ini lebih menarik untuk aktiviti jelajah hutan, berbasikal lasak, pendakian dan fotografi.

Penyelia Kompleks MSN Saujana Asahan, Mohamad Nizam Abu Talib berkata, pihaknya menyediakan 72 bilik standard dengan dua katil dan yang mahukan privasi boleh memilih bermalam di chalet (10 unit) dengan bayaran RM80 semalam dan rumah kluster (dua unit) dengan bayaran RM120 semalam.

"Kita turut menyediakan banglo bercirikan rumah tradisional Melayu Melaka yang mempunyai tiga bilik lengkap dengan ruang tamu dan dapur pada harga RM150 semalam.

"Jika datang secara kumpulan, kita mempunyai lapan asrama (44 katil) dengan bayaran RM20 seorang semalam," katanya.

Katanya, mereka yang mahu mencari kelainan dengan bermalam dalam suasana santai, ada 80 tapak khemah dengan bayaran RM10 bagi setiap tapak sehari.

Menurutnya, tapak perkhemahan itu lengkap dengan tandas dan bilik air.

"Bagi sekolah, institusi pengajian tinggi dan persatuan sukan, mereka mendapat potongan 50 peratus.

"Suasana di sini nyaman kerana terletak di kaki gunung, air terjun Asahan dan hutan," katanya.

Pihaknya juga menyediakan pakej bagi aktiviti luar seperti jelajah hutan pada waktu malam atau siang pada jarak tiga hingga 10 kilometer (km) bergantung kepada jumlah peserta.

"Kemudahan lain disediakan ialah aktiviti lasak seperti 'flying fox', 'abseiling', elemen bertali di tempat tinggi dan latihan berhalangan dengan membabitkan penyediaan menerusi pakej berkumpulan pada harga RM400.

"Lebih menarik, kami menyediakan pakej aktiviti ikthiar hidup di hutan dengan kadar bayaran bermula daripada RM450 hingga RM850 bagi jumlah 50 peserta hingga 100 peserta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:11 AM