GUERRA tekad  bantu Semut Merah muncul juara Piala FA.
GUERRA tekad bantu Semut Merah muncul juara Piala FA.
Firdaus Hashim dan Nazri Abu Bakar

Petaling Jaya: Pertama kali menikmati bahang final membuatkan penyerang sensasi PKNS Gabriel Guerra tidak sabar menanti aksi itu apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Shah Alam dalam final Piala FA, Sabtu ini.

Dia yang berstatus pinjaman daripada kelab gergasi Argentina Boca Juniors kini dalam laluan untuk muncul penjaring terbanyak saingan dengan mencetak lima gol untuk berada di belakang penyerang Johor DT Jorge Diaz (7), yakin mampu merobohkan benteng lawannya itu.

Jelas pemain berusia 23 tahun itu, kesempatan melangkah ke final akan digunakan sebaiknya sekali gus mencipta kenangan peribadi yang terindah bersama skuad Red Ants.

“Ini final pertama saya selaku pemain profesional. Di Boca Juniors, saya ada bermain pentas final namun lebih di peringkat bawah umur.

“Saya amat teruja dan tidak sabar merasai suasana final yang dikhabarkan bakal dipenuhi penyokong terutama penyokong Johor DT.

“Sasaran peribadi sudah tentu mahu memastikan final pertama ini diakhiri dengan gelaran juara agar saya diingati,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kelana Jaya, semalam.

Guerra yang beraksi cemerlang dalam saingan Liga Perdana difahamkan sedang diintai pasukan Liga Super, Selangor untuk dibawa masuk pada jendela perpindahan yang akan dibuka Jun ini.

Kelincahan dan ketajaman penyudah penyerang itu diakui ramai pemerhati bola sepak tempatan, malah ada yang mengandaikan pertahanan Harimau Selatan akan sibuk sepanjang 90 minit aksi itu.

“Saya tidak fikirkan pasal kelebihan mereka (Johor DT), sebaliknya lebih memikirkan mengenai prestasi diri sendiri.

“Ketika ini hati saya sudah melayang ke Stadium Shah Alam kerana saya mengimpikan kejuaraan pertama selaku pemain profesional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 7:54 AM