BERNAMA

Sebuyau (Sarawak): Tumpuan pencarian kini beralih ke kawasan hulu Sungai Batang Lupar berhampiran Lingga bagi mengesan helikopter yang hilang sejak kelmarin.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon II Sarawak, Azman Julaihi yang mengetuai misi mencari dan menyelamat (SAR) JBPM berkata kawasan berkenaan, kira-kira 250 kilometer dari Kuching, dipercayai lebih dekat dengan lokasi tragedi berdasarkan penemuan mayat Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) Datuk Noriah Kasnon dan serpihan helikopter semalam.

Sebelum ini, tumpuan pencarian ialah di Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau, pekan kecil terletak 220 kilometer dari Kuching.

"Pasukan SAR akan memperluaskan kawasan pencarian sekitar 50 hingga 100 kilometer di kawasan hulu Sungai Batang Lupar bagi mengesan lima lagi yang hilang," katanya.

Azman berkata aset pencarian akan ditambah dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan.

Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang menghala Kuching membawa Noriah, suaminya Asmuni Abdullah, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha MPIC Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal

peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.

Azman berkata operasi SAR itu diteruskan di hulu sungai itu berhampiran Lingga malam ini.

Pos Operasi SAR di Jeti Feri Sebuyau, ditutup mulai 8 malam tadi dan dipindahkan ke Lingga dekat Sri Aman mulai esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 1:53 AM