GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEBANYAK 183 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun RM45,750 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKN Johor) kepada perokok yang melanggar larangan merokok di semua tempat makan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, jumlah notis dikeluarkan sejak Rabu lalu itu menerusi penguatkuasaan serentak dijalankan di seluruh Johor.

Beliau berkata, sepanjang penguatkuasaan yang dijalankan sehingga 12 tengah malam tadi, pihaknya memeriksa 2,440 premis makanan sebelum notis kesalahan itu dikeluarkan.

Katanya, perokok yang melanggar notis itu dikompaun mengikut Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

“Sebanyak 10 notis kesalahan membabitkan orang belum dewasa. Daripada keseluruhan perokok yang diberikan notis, sembilan orang didapati bersalah kerana merokok rokok elektronik dan ‘vape’.

“Tiada kesalahan menghisap shisha direkodkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khuzzan berkata, JKN Johor turut menjalankan penguatkuasaan mengikut Peraturan 12(1)(a) dan 12(1)(b) PPKHT 2004 yang mengkehendaki pemilik premis memastikan tempat makan bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan mempamerkan larangan merokok secara jelas.

Katanya, ia termasuk tidak menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok.

“JKN Johor mengambil berat tentang pendedahan orang awam yang bukan perokok, khususnya kanak-kanak, terhadap asap rokok dan kesan negatif yang dibawa.

“Oleh itu, JKN Johor akan terus berusaha untuk memastikan kawasan larangan merokok bebas daripada asap rokok,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Khuzzan memohon kerjasama semua pihak supaya mematuhi larangan merokok yang ditetapkan bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin.

“Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok, mQuit, yang disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan seluruh negara.

“Mereka juga boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400 untuk maklumat lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 8:48 PM