Kereta Honda Civic remuk dalam kemalangan di Kilometer 2.4 Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, di sini, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Kereta Honda Civic remuk dalam kemalangan di Kilometer 2.4 Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, di sini, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Mohamed Sahidi Yusof


Tanah Merah: Tiga lelaki maut dan tiga wanita cedera parah dalam kemalangan ngeri membabitkan dua kenderaan di Kilometer 2.4 Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, kereta jenis Honda Civic yang dinaiki lima rakan dalam perjalanan dari Tanah Merah menghala ke Pasir Mas hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Pada masa sama datang kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah melanggar sebelah kiri kereta Honda Civic.

Akibat kemalangan itu pemandu Proton Wira, Tan Hok Sun, 28, maut di lokasi kejadian, manakala dua lelaki iaitu pemandu Honda Civic, Mohd Alif Amani Mohd, 20, dan penumpang, Muhammad Salihin Yasar, 17, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tanah Merah.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, tiga wanita yang juga penumpang Honda Civic yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 2:19 PM