KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Apendy Issahak


DUA maut termasuk kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 294.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Gopeng, pagi tadi.

Kemalangan 7.10 pagi itu membabitkan treler jenis Hino, Perodua Myvi, lori yang belum dikenal pasti, Volkswagen Passat, Honda Civic dan Proton Perdana dengan keseluruhan 10 mangsa termasuk dua cedera dan dua maut.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, mangsa yang maut ialah penumpang Proton Perdana yang juga kenderaan terakhir terbabit dalam kemalangan itu.

Menurutnya, Proton Perdana dipandu Muhamad Hisyam Zakaria, 35, yang bertugas sebagai Pendakwa Syarie di Jabatan Pendakwaan Mahkamah Syariah Putrajaya serta dinaiki isterinya, Ummu Maisarah Kamaludin, 33, yang juga seorang guru serta tiga anak perempuan mereka Syifa’, 9; Syaima’, 5 dan Syurafa’ berusia dua tahun.

“Ummu Maisarah yang duduk di bahagian penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian dan anak mereka, Syaima’ yang duduk bahagian penumpang depan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, manakala Muhammad Hisyam bersama dua lagi anak mereka terselamat.

“Dua lagi mangsa yang cedera ialah pemandu Perodua Myvi, Abd Rauf T Qiamuddin, 29, yang patah tangan kanan serta pemandu Honda Civic, Chong Wei Shen, 28, luka di kepala. Mangsa turut dirawat di HRPB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasron Nazri berkata, tiga lagi pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu terselamat.

“Siasatan awal mendapati treler dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh dipercayai dilanggar dari belakang oleh Perodua Myvi menyebabkan kereta itu berpusing dan berhenti di lorong kanan sebelum sebuah lori tidak dapat dipastikan memperlahankan kenderaan.

“Volkswagen Passat di belakang lori itu juga memperlahankan kenderaan serta menyalakan lampu kecemasan, diikuti Honda Civic namun Proton Perdana gagal mengelak dan melanggar belakang Honda Civic.

“Perlanggaran itu menyebabkan Honda Civic berganjak ke hadapan dan melanggar belakang Volkswagen Passat yang juga berganjak melanggar lori,” katanya.

Menurutnya, hasil bedah siasat di Hospital Kampar mendapati kematian Ummu Maisarah disebabkan kecederaan parah di kepala manakala anaknya Syaima’ dibedah siasat di HRPB dan sebab kematian adalah kecederaan kepala dan dada.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 6:17 PM