BAHAGIAN tambahan ruang solat di Masjid As-Syakirin.
BAHAGIAN tambahan ruang solat di Masjid As-Syakirin.
TAMBAHAN Masjid As-Syakirin, KLCC.
TAMBAHAN Masjid As-Syakirin, KLCC.
TERSERGAM Pejabat Perdana Menteri yang menjadi antara mercu tanda Putrajaya.
TERSERGAM Pejabat Perdana Menteri yang menjadi antara mercu tanda Putrajaya.
Rashidah Ibrahim


Selama 33 tahun terbabit dalam bidang seni bina, sudah banyak senarai projek yang berjaya disempurnakan firma milik anak Melayu ini.

Dalam tempoh itu, tidak kurang 20 projek besar dan sederhana di dalam dan luar negara disiapkan aQidea Architects Sdn Bhd (aQidea), firma milik arkitek Ahmad Rozi Abd Wahab, 55.

Beberapa projek besar dan hebat yang disempurnakan syarikat itu ialah Hotel Zenith di Putrajaya, kondominium di Cyberjaya, pejabat berkembar 25 tingkat Medini, Iskandar, Johor; Kondominium dan Hotel Medini; Kompleks Wellness, bangunan Pejabat Sime Darby 23 tingkat di Subang Jaya, kompleks kedai pejabat Cyberjaya dan Kuala Lumpur International Outlet (KLIO).

Selain projek berprofil tinggi, bangunan Perdana Putra (Pejabat Perdana Menteri), Istana Kehakiman Putrajaya, Menara Ketiga Petronas bersebelahan Menara Berkembar Petronas KLCC, Ibu Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Kedah, Kedutaan Malaysia di Singapura, Pejabat Petronas di Khartoum, Sudan dan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Senarai panjang projek yang berjaya disempurnakan itu ternyata membuatkan Ahmad Rozi layak menjadi idola kepada arkitek muda atau pelajar seni bina pada masa ini.

Tentunya beliau mempunyai tip dan prinsip tersendiri yang boleh dirujuk mereka yang ingin menceburi bidang berkenaan.

Menurutnya, aQidea Architects mula beroperasi pada 1994 dengan hanya enam kakitangan dan terkini 54 orang.

Mendedahkan rahsia menyumbang kepada kejayaan itu, menurut beliau, sifat suka meneliti dan mengkaji sesuatu dalam pelbagai aspek, memberi ilham kepadanya untuk diaplikasikan dalam bidang seni bina.

“Cabaran paling besar dalam industri ini ialah mencari reka bentuk unik dan memberi cita rasa sesuai serta perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.

“Saya juga berpegang kepada amalan prinsip kerja ‘value sharing’ bersama pelanggan ketika melakar dan mereka bentuk projek untuk menghasilkan pembangunan yang dapat dimanfaatkan semua pihak,” kata anak kelahiran Perak ini.

Beliau berkata, kejayaan paling manis apabila mereka bentuk dan menyiapkan sebuah bangunan ikonik serta moden di Putrajaya.

Perkembangan dunia seni bina kini, katanya, sangat menduga. Cabaran datang daripada tanggungjawab yang banyak, bukan saja dari segi menepati cita rasa pelanggan, tapi terhadap masyarakat dan pengguna.

“Arkitek perlu kreatif, berpengalaman, mempunyai cita rasa unik dan kaya dengan pengetahuan berkenaan idea rekaan terkini.

“Seorang arkitek juga perlu tahu perkembangan terkini bahan binaan baru dan serta sistem binaan bersepadu selain perlu arif dalam pengendalian perniagaan firma dengan mengimbangkan keperluan bakat pekerja, gaji, perkhidmatan pelanggan serta bayaran yuran,” katanya yang berhasrat menerbitkan buku berkaitan hasil kerja firma aQidea Architects dan sepanjang 20 tahun terbabit dalam bidang seni bina.

Berkahwin pada 1990 dengan Marliya Meor Abd Ghani, pasangan ini dikurniakan lima cahaya mata berusia 16 hingga 25 tahun.

Setakat ini hanya seorang anaknya mengikut jejak langkahnya iaitu anak ketiga Ainaa Rasyiqah yang kini melanjutkan pengajian di bidang seni bina di University Leeds Becket, United Kingdom.

“Dalam usia lima puluhan ini, saya berusaha meluangkan masa untuk aktiviti keagamaan selain memenuhi tuntutan kerja di pejabat.

“Tidak ada definisi waktu lapang bagi saya pada zaman ini kerana setiap waktu ada sahaja kegiatan dilakukan sama ada bersama keluarga, sahabat handai atau berseorangan,” katanya yang gemar menjelajah ke seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 12:33 PM