HASIL kerja Ahmad Hilmy berada pada kelas tersendiri tapi suka kongsi ilmu.
HASIL kerja Ahmad Hilmy berada pada kelas tersendiri tapi suka kongsi ilmu.
Rashidah Ibrahim


Individu yang peramah dan mudah mesra dengan sesiapa saja ini, bukan calang-calang dalam dunia seni bina tempatan atau antarabangsa.

Latar belakang pendidikan dan pengalaman lebih 32 tahun boleh dibanggakan serta layak dijadikan idola generasi muda yang meminati bidang ini.

Minat mendalam sejak di bangku sekolah akhirnya membawa Ahmad Hilmy Abdullah, 54, berada pada kelas tersendiri selain menggunakan segala peluang yang ada untuk berkongsi ilmu.

“Saya dinasihatkan banyak pihak, jika ingin berjaya dalam hidup cari kerja sesuai dengan minat. Pada masa sama memberi pulangan lumayan.

“Saya diberi gambaran bahawa menjadi arkitek perlu kreatif, pandai menterjemah idea ke dalam lukisan dan daya imaginasi perlu tinggi.

“Kedudukan arkitek pada mata masyarakat juga tinggi, lalu saya pupuk minat hingga mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melayakkan saya menyambung pengajian di bidang seni bina,” katanya sambil mengakui dalam keluarganya tidak seorang pun mempunyai latar belakang kerjaya itu.

Apabila melanjutkan pelajaran, barulah beliau sedar bahawa bidang seni bina lebih mencabar daripada dibayangkan.

“Lebih banyak perkara perlu dipelajari dan fahami. Pandai melukis saja tidak cukup.

“Namun, saya tanamkan keserasian kerana sudah lama bersedia untuk menghadapi segala cabaran,” katanya.

Beliau pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tahun 1985 dan Diploma Seni Bina universiti sama pada tahun 1982.

Begitu juga di alam pekerjaan kerana banyak cabaran terutama persaingan sesama arkitek, mengekalkan mutu perkhidmatan, mempertingkat pengetahuan dan teknologi yang sentiasa berkembang.

“Pada masa sama, sebagai arkitek profesional yang berdaftar dan tertakluk di bawah pemantauan Lembaga Arkitek Malaysia (LAM), saya perlu patuh kepada segala garis panduan dan peraturan termaktub,” katanya sambil mengakui bersyukur dengan kejayaan setiap projek.

Beliau kini prinsipal kepada AHA Architect, iaitu firma sendiri yang ditubuhkan sejak 1996.

Bermula dengan lapan kakitangan, jumlahnya bertambah hingga pernah mencapai 35 orang ketika mengendalikan projek besar.

Senarai projek berjaya dikendalikan agak panjang. Ini termasuk Kompleks Dewan Serbaguna Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Maktab Rendah Sains Mara, Bentong, Kuala Lipis, Chenderoh dan Jeli; Institut Kemahiran Mara Kota Kinabalu, Institut Profesional Mara Seri Iskandar, Perak dan Indera Mahkota Pahang.

Selain itu, Taman Teknologi Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah Selama, Perak; Kawasan Industri Kecil Mara Kuching, Sarawak; Marang, Terengganu dan mukim Batu, Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, saya masih mengharap mencapai satu tahap di mana hasil kerja saya menjadi ikon dikenali generasi akan datang,” katanya.

Menyentuh prinsip kerjaya dan kehidupan, katanya beliau mengamalkan kesederhanaan dalam segenap segi.

“Saya pentingkan hubungan dan berbaik sangka dengan siapa saja. Kadangkala banyak mengalah kerana tidak suka bermusuh.

“Saya sukakan keharmonian sama ada di pejabat atau di rumah. Ia dicapai dengan menangani masalah secara bijaksana,” katanya yang mengakui dua daripada tiga anaknya kini melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina.

Anak sulung bakal tamat pengajian di peringkat Sarjana di Manchester, United Kingdom, manakala yang bongsu pula baru masuk peringkat diploma di UTM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 12:24 PM