SHAIKH Abdul Adzis (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
SHAIKH Abdul Adzis (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Tiga individu termasuk pekerja bank ditahan bersama dadah bernilai RM146,500 dalam tiga serbuan berasingan di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah, di sini, Rabu lalu.

Mereka ditahan di tiga lokasi berasingan dalam serbuan Ops Tapis masing-masing di Bertam Perdana, Taman Kota Laksamana dan Jalan Cenderawasih antara 6.30 petang hingga 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 43 tahun tahun termasuk seorang wanita aktif melakukan kegiatan pengedaran di sekitar Melaka Raya, Lorong Pandan serta Durian Tunggal.

Katanya, tangkapan pertama ke atas suspek wanita yang juga ibu tunggal menemui dadah dipercayai heroin seberat 340 gram yang bernilai RM5,000.

"Manakala tangkapan kedua suspek yang juga pekerja bank, polis merampas 500 biji dadah dipercayai Eramin5 serta 100 biji ecstacy, kesemua itu bernilai RM11,000.

"Susulan tangkapan suspek kedua, polis kemudian menahan seorang lagi suspek di rumah di Jalan Cenderawih dan merampas 1,500 biji dadah dipercayai Eramin5 serta 2,250 ecstasy yang bernilai RM130, 500," katanya.

Kesemua mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 4 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 5:13 PM