KREATIF hasilkan produk kedua daripada barang buangan galak pembangunan mesra alam.
KREATIF hasilkan produk kedua daripada barang buangan galak pembangunan mesra alam.
KREATIF hasilkan produk kedua daripada barang buangan galak pembangunan mesra alam.
KREATIF hasilkan produk kedua daripada barang buangan galak pembangunan mesra alam.
Siti Farahiyah Aziz
gen.y@hmetro.com.my

Kebelakangan ini, kempen kitar semula atau pengasingan sisa pepejal menjadi penekanan utama bagi memudahkan jentera pengurusan sisa pepejal melakukan kitar semua barangan dibuang.

Setiap hari dianggarkan 37,000 tan metrik sampah dibuang oleh penduduk Malaysia dan tahun lalu RM1.2 bilion dibelanjakan bagi kerja pengutipan sampah.

Tanpa disedari, barangan terbuang mempunyai pelbagai manfaat jika diguna semula secara kreatif. Sebagai contoh, sisa makanan boleh dijadikan baja kompos dan botol minuman boleh dijadikan barangan hiasan.

Idea kreatif segelintir masyarakat dalam mengitar semula barangan terbuang adalah satu tindakan bijak dalam menangani pencemaran alam sekitar.

PERANAN KITAR SEMULA

Kitaran ini amat penting dalam mengurangkan pengeluaran sumber alam yang membawa kepada kemusnahan alam semula jadi. Ia juga dapat mengurangkan kadar bilangan botol plastik yang terbuang begitu saja yang sudah pasti akan mencemar alam persekitaran dan kehidupan kita.

Oleh itu setiap orang perlu membabitkan diri dalam aktiviti kitar semula. Anda perlu kumpulkanlah semua jenis botol plastik yang tidak berguna dan jual di pusat kitar semula. Selain menyumbang kepada pengurangan kemusnahan dan pencemaran, anda juga akan mendapat pulangan wang.

Selain menjual kembali, anda boleh cuba idea kreatif kreativiti kitar semula untuk mengubah kegunaan botol plastik ini kepada sesuatu benda lain yang berguna dan bernilai.

HASIL PRODUK BARU

Keadaan kini sudah berbeza kerana masyarakat khususnya golongan muda mula menonjolkan kreativiti diri masing-masing dengan menghasilkan pelbagai produk daripada barangan terpakai.

Penggunaan bahan buangan dengan cara menghasilkan suatu yang berguna adalah lebih baik daripada terus membuangnya walaupun terdapat perbezaan daripada rupa dan fungsi asalnya.

Tindakan ini secara tidak langsung dapat membantu pengurangan bahan buangan dan berlaku pembaziran penggunaan sumber alam semula jadi yang semakin terhad.

Kebiasaannya palet kayu digunakan sekali sahaja dan kemudian ia dibuang. Tetapi kini, masyarakat mula kreatif apabila menggunakan palet untuk menghasilkan perabot ringkas seperti rak buku, ruangan rehat untuk melengkapkan hiasan kediaman.

MENJANA SUMBER PENDAPATAN

Pembabitan secara serius dalam menghasilkan produk daripada bahan buangan juga boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan. Ini kerana masyarakat gemar barangan yang kelihatan cantik serta menarik hasil ubah suai barangan terpakai.

Menerusi media sosial, pencinta alam boleh berkongsi cara mengguna pakai barangan terbuang serta mengetengahkan produk yang dihasilkan secara komersial.

Sebagai contoh, jean yang terpakai boleh diubah suai menjadi beg dan bekas pensel. Lebih menarik lagi apabila ditambah aksesori yang ringkas dan menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 6:40 AM