PINTU gerbang landskap edibel sempena MAHA 2014.
PINTU gerbang landskap edibel sempena MAHA 2014.
VESPA terpakai dijadikan landskap edibel.
VESPA terpakai dijadikan landskap edibel.
GERABAK kereta api dijadikan landskap edibel.
GERABAK kereta api dijadikan landskap edibel.
Oleh Mohd Sabran Md Sani

Bagi peminat taman, cita rasa mereka mungkin berbeza, apatah lagi ada yang membangunkan taman menggunakan barangan terpakai.

Pandangan kanak-kanak dan orang dewasa mengenai konsep taman juga berbeza.

Itu yang menarik untuk dihayati apabila anda mengunjungi Laman Florikultur yang menempat­kan 1,000 jenis barangan kitar semula berkonsep­kan Taman Edibel.

Laman seluas tiga hek­tar itu memberi idea dan pendedahan kepada pe­ngunjung kaedah menguruskan bahan terbuang.

Bayangkan seluar jeans yang kerap dijadikan kain buruk menjadi medium penanaman sayur dan bunga.

Gerabak kereta api yang selayaknya dijadikan sekerap besi buruk diubah suai menjadi Taman Kafe.

Sungguhpun menerima suntikan seni yang drastik, gerabak dikitar semula itu masih mengekalkan nilai estetika tinggi.

Siapa sangka, barangan tong sampah ini menjadi produk kreatif dengan hanya sedikit sentuhan ajaib.

Ini usaha gigih kakitangan dan pegawai Pusat Teknologi Florikultur dan Herba (PTFH), Kompleks Pertanian Serdang,Selangor.

Usaha itu melayakkan Jabatan Pertanian menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) apabila menghasilkan taman buah dan sayur terbesar menggunakan bahan kitar semula.

Pengiktirafan itu kerana mengadakan pameran 'Largest Fruits & Plants Garden in Recycleable Materials Di Kluster Agromakanan Buah-buahan dan Florikultur'.

Pengiktirafan itu diperoleh sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 di Taman ­Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), tahun lalu.

Bagi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, konsep laman dibangunkan itu mengete­ngahkan konsep pertanian bandar, sekali gus menggalakkan masyarakat berkebun.

Pegawai Pertanian Seksyen Florikultur Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur, Jabatan Pertanian Serdang, Muhamad Adli Salihin Samsudin berkata, landskap edibel adalah hasil gabungan dua perkataan.

"Edibel membawa maksud sesuatu benda atau barangan yang boleh dimakan sama ada secara terus (petik dan makan) atau proses dan makan.

"Landskap pula bermaksud pemandangan sesuatu kawasan," katanya.

Menurutnya, gabungan perkataan landskap edibel pula adalah pemandangan sesuatu kawasan menggunakan tanaman gabu­ngan yang boleh dimakan dengan beberapa tanaman makanan.

"Kombinasinya ialah 70 peratus tanaman boleh dimakan, bakinya tanaman hiasan sebagai peleng­kap sebuah landskap edibel.

"Bagi memberi keceriaan, ia menggabungkan elemen 'landskap kejur' seperti air pancut, kerusi taman, pergola dan gazebo.

"Konsep 'tanam apa yang kita makan dan makan apa yang kita tanam', memberi banyak faedah," katanya.

Konsep landskap edibel dibangunkan menggunakan barangan terpakai dan pengurangan bahan kimia.

"Ia memulihara alam sekitar, selain menjana pendapatan kepada keluarga serta komuniti," katanya.

Tujuan pameran edibel landskap bagi memberikan idea, pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat.

"Paling penting ialah mengenai kepentingan landskap edibel itu sendiri dengan menggunakan barangan terpakai," katanya.

Antara barangan yang boleh digunakan ialah bekas botol minuman, tayar terpakai, kasut terpakai, kayu-kayu pallet dan baldi lama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 9:33 AM