CETUSKAN suasana hijau menerusi idea hias tanaman.
CETUSKAN suasana hijau menerusi idea hias tanaman.
Zaitie Satibi


BOTOL plastik mengambil masa ratusan tahun untuk lupus sepenuhnya. Kita sebagai pengguna perlulah bijak memainkan peranan untuk menyelamatkan alam sekitar dengan mengitar semula bahan terbuang.

Jika di rumah anda terdapat banyak botol plastik yang kosong, jangan dibuang dulu kerana siapa sangka anda boleh menghasilkan pelbagai produk kitar semula, sama ada untuk kegunaan di rumah selain turut menjaga keindahan alam sekitar.

Barang terbuang dan tidak dipakai masih boleh digunakan semula untuk dijadikan sesuatu benda lain yang menarik serta berguna.

Kreativiti kitar semula barang terbuang ini boleh dilakukan sendiri andai rajin dan punya masa terluang.

Walaupun kadangkala agak rumit dan tidak punya kemahiran, idea kitar semula ini boleh didedahkan kepada anak untuk mereka lakukan sambil belajar menghargai barang terbuang ini.

Aktiviti ini mampu membuka minda dan meningkatkan kemahiran mereka di samping menyemai amalan kitar semula demi menjaga alam sekitar. Bimbingan dan dorongan akan menjadikan amalan kitar semula ini sebagai satu budaya pada masa akan datang.

Antara barangan yang dicipta daripada botol

plastik seperti bunga

hiasan, bekas penyimpanan, lampu, dinding, kotak bingkisan, tabung, pasu, tirai, jam dinding, rak surat khabar dan permainan kanak-kanak.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran kepentingan kitar semula terhadap masa depan lebih hijau, Spritzer memperkasakan pelajar universiti dan kolej seluruh Malaysia untuk mengitar semula botol plastik dalam cara yang kreatif menerusi pertandingan seni eko.

Pertandingan itu mencabar generasi akan datang untuk menjadi wira kitar semula menggunakan botol plastik air mineral terpakai dan menukarnya kepada karya seni yang bukan saja unik, malah turut mempunyai kegunaan.

Hasil karya akan dinilai berdasarkan kaitannya dengan tema, kreativiti dan keaslian, reka bentuk visual dan estetika serta fungsinya.

Pengurus Kumpulan Pemasaran Spritzer, Elaine Ho berkata, botol mineral keluaran syarikat itu direka supaya mudah dilentur untuk dikitar semula dan pertandingan berkenaan adalah sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat pihaknya yang membabitkan pelajar menggunakan bakat, kemahiran dan imaginasi mereka secara kreatif.

“Ini adalah peranan kami untuk menjalankan komitmen berterusan dalam memupuk amalan kitar semula khususnya kepada generasi akan datang dalam mewujudkan masa depan yang mampan.

“Kami juga memberikan ganjaran kepada usaha yang terbaik. Sebanyak 30 karya paling kreatif daripada individu atau kumpulan akan menerima wang tunai RM5,000, manakala universiti atau kolej dengan karya eko terbaik akan menerima dana pembangunan RM30,000.

“Pemenang pula akan dipilih juri awam menerusi pengundian dalam laman Facebook milik Spritzer dan panel hakim terdiri wakil dari syarikat. Tempoh pengundian ini bermula dari 1 hingga 15 Julai ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 12:07 PM