MPJ akan mengekalkan dan menyelenggara trek di Asahan.
MPJ akan mengekalkan dan menyelenggara trek di Asahan.

Jasin: Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) akan terus mempromosi Asahan sebagai lokasi aktiviti sukan berbasikal lasak selepas kawasan itu mula dikenali dengan kejayaan penganjuran Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014, Sabtu lalu.

Yang Dipertua Hazudin Hashim berkata, pihaknya akan mengekalkan trek dibina bagi kejohanan itu untuk memudahkan penganjuran sukan lasak pada masa akan datang.

Katanya, daerah terbabit mempunyai dua trek perlumbaan MTB selepas Bukit Langsat yang menjadi lokasi tumpuan tunggal peminat basikal lasak.

“Memang setiap tahun kami menganjurkan kejohanan MTB, namun dengan adanya trek tambahan ini, kami mempunyai pilihan baru.

“Kami akan menyelenggara trek di Asahan yang menawarkan pemandangan indah,” katanya.

Hazudin berkata, pihaknya gembira dengan penganjuran kejohanan MTB itu kerana dilihat berjaya mempromosi daerah Jasin ke seluruh negara.

Katanya, kini peminat MTB mula mengenali Asahan dan pihaknya akan mengambil kesempatan memperbanyakkan lagi aktiviti terutama membabitkan pelancongan.

“Kami juga mengalu-alukan pihak yang memilih daerah ini untuk penganjuran kejohanan pada tahun depan.

“Kami sedia memberi kerjasama kerana kejohanan ini memberi banyak kesan positif kepada daerah ini serta penduduknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 6:57 AM