HUSAIN (kiri) berbincang dengan pegawai polis mengenai bantuan diberikan pada hari perlumbaan.
HUSAIN (kiri) berbincang dengan pegawai polis mengenai bantuan diberikan pada hari perlumbaan.

Jasin: Polis Jasin menyokong penuh penganjuran Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan, 28 dan 29 November ini dengan memastikan perlumbaan berjalan lancar.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Supritenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim (gambar) berkata, 50 pegawai dan anggota akan mengawal kawasan perlumbaan bagi memastikan keselamatan peserta terjamin.

Katanya, beliau akan menempatkan anggota bagi mengawal laluan perlumbaan dan jalan raya serta kawasan sekitarnya.

“Kami juga mengeluarkan arahan kepada syarikat pengurusan ladang dan kontraktor pembinaan di kawasan berhampiran supaya menghentikan aktiviti kenderaan berat daripada menghampiri trek kejohanan itu,” katanya.

Terdahulu jawatankuasa kejohanan mengadakan perbincangan dengan pihak polis bagi mendapatkan bantuan pada hari perlumbaan.

 Hadir pada majlis itu Pengarah Kejohanan Husain Jahit, Pengurus Projek Harian Metro Abdul Kadir Hamza dan Ketua Biro Harian Metro Melaka Mohd Nur Asnawi Daud.

Nur berkata, pihaknya juga meminta kerjasama pengurusan Lapang Sasar Asahan yang terletak berhampiran trek supaya tidak melakukan sebarang latihan menembak bagi mengelakkan peserta terkejut dengan bunyi letupan.

“Walaupun trek perlumbaan terletak jauh dari lapang sasar, letupan itu dikhuatiri mengejutkan peserta dan kita tidak mahu perkara itu mengganggu tumpuan mereka,” katanya.

Pihaknya juga akan menyediakan pondok polis bergerak bagi memudahkan urusan kawalan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:07 AM