Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Dua lelaki ditahan polis, awal pagi tadi, selepas disyaki terbabit dalam kes samun membabitkan pekerja warga asing di Bandar Selesa Jaya, Skudai, 12 April lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, suspek berusia 19 dan 27 tahun itu ditahan secara berasingan 2.30 pagi tadi hasil maklumat dan risikan yang dilakukan.

"Kita menerima aduan pengurus kilang yang memberitahu dua pekerja warga Nepal disamun serta dicederakan di lorong belakang asrama pekerja, 9.20 malam, 12 April lalu.

"Dalam kejadian itu, mangsa kerugian kira-kira RM1,000 apabila telefon bimbit, dokumen peribadi dan wang tunai RM250 diambil suspek. Mangsa juga cedera ditumbuk dan ditoreh pada tangan dan belakang badan menggunakan pisau," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek berusia 19 tahun adalah penganggur dan didapati positif syabu, manakala suspek berusia 27 tahun bekerja sebagai pemandu lori dan negatif dadah hasil ujian saringan awal air kencing.

Katanya, hasil siasatan awal, suspek mengaku melakukan samun dan pernah memeras ugut pekerja warga asing dengan meminta wang perlindungan sebanyak RM30 seorang setiap bulan.

"Suspek aktif melakukan jenayah samun sejak Mac lalu dan menyasarkan warga asing sebagai mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 5:24 PM