Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Kuching: Malaysia Airport Holding Berhad menafikan khabar angin ada pesawat menghadapi masalah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, petang tadi.

Pengurus Kanan LTAK Mohd Nadzim Hashim berkata, pesawat yang dilihat berlegar-legar petang tadi ialah pesawat latihan AirAsia yang menjalani latihan pendaratan kapal terbang.

Menurutnya, dalam latihan itu, pesawat terbang dan berlegar-legar di ruang udara lapangan terbang sebelum mendarat.

"Sebaik mendarat, pesawat akan menyelusuri landasan dan berlepas semula. Latihan bermula 6.30 petang dan berhenti untuk mengisi bahan api pada 8.50 malam. Latihan disambung untuk beberapa pusingan dan terbang semula ke Kuala Lumpur," katanya.

Nadzim berkata, latihan rutin itu biasanya dijalankan pada waktu petang kerana kurang pergerakan trafik.

"Malah, Pusat Kawalan Udara LTAK turut mengesahkan pesawat terbabit sedang menjalani latihan.

"Tiada pesawat penumpang Air Asia yang mengalami masalah seperti yang tersebar di media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 11:31 PM