PENGUNJUNG diberi peluang melihat proses madu dalam sarang lebah.
PENGUNJUNG diberi peluang melihat proses madu dalam sarang lebah.

Berkunjung ke Taman Lebah Pahang (TLP) di kilometer 17 Jalan Nenasi-Pekan, Pahang membuatkan penulis teruja dengan pemeliharaan lebah diusahakan syarikat Bumiputera di negeri itu.

Pengurus Bee Park (Pahang) Sdn Bhd, Mohd Nawi Deraman berkata, Bee Park mempunyai keluasan lima hektar dan terdapat pelbagai spesies lebah yang diternak dalam sarang khas dibina menggunakan kayu.

Menurutnya, dalam menghasilkan madu berkualiti sumber alam seperti pokok akasia dikekalkan di taman itu.

Selain ditanam dengan pelbagai pokok termasuk misai kucing, jambu air, jagung dan nangka bagi membekalkan sumber makanan kepada lebah.

“Pada awal pembukaan taman ini, ratu lebah dan lebah pekerja diperoleh melalui sarang di kawasan habitat semula jadi sebelum ia dibelah dan dimasukkan ke dalam sarang khas dibina menggunakan kayu.

“Apabila ia sesuai dengan persekitaran, bermulalah proses penghasilan madu lebah apabila ‘pekerja’ mula menjadikan tumbuhan setempat sebagai makanan yang boleh menghasilkan madu.

“Melalui proses itu terhasilnya madu, bee bread dan propolis yang semuanya sangat berguna untuk kesihatan serta penghasilan produk kosmetik,” katanya.

Bagi setiap sarang itu terdapat 1,000 lebah menetas setiap hari dan hayat bagi lebah pekerja hanya 45 hari berbanding ratunya iaitu tujuh tahun.

“Bee Park terdapat 150 sarang lebah setiap sarang mampu mengeluarkan 1,000 mililiter madu setiap dua hingga tiga minggu.

“Harga madu boleh mencapai RM300 hingga RM400 sekilogram sementara harga bagi bee bread dan propolis pula boleh mencecah RM4,800 hingga RM 5,500 sekilogram.

“Bagi memenuhi permintaan madu lebah itu, kami kini berusaha menambah bilangan sarang hingga 3,000 buah tidak lama lagi,” katanya.

Katanya, biasanya madu di Bee Park habis dijual kepada pengunjung yang datang ke sini dan yang membuat tempahan awal.

Harga bagi setiap 50 mililiter dijual dengan RM40 dalam pelbagai botol dan paket.

“Melalui kerjasama dengan agensi kerajaan, Bee Park mengambil inisiatif membantu seramai 17 belia setempat di sekitar Pekan dengan memberi kursus jangka pendek kepada mereka dalam ternakan lebah itu.

“Kami turut menyediakan modul lengkap untuk latihan itu dan berharap matlamat dalam membantu golongan memerlukan akan terlaksana,” katanya.

“Fokus kita untuk menghasilkan madu lebah yang sumber makanannya berasaskan herba. Oleh itu kita mengambil langkah menanam pokok herba di taman ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hairie Mohamad Yashim, 26, berkata, dia gembira kerana diberi peluang menjalani latihan untuk menimba pengalaman menternak lebah madu.

“Selepas menamatkan latihan di sini saya berazam untuk menternak lebah di Kampung Pantai Sepat, Pekan tidak lama lagi,” katanya.

Wan Sazali Wan Mohd Slotie, 41, berkata, dia sangat teruja apabila diberi peluang menjalani latihan sambil bekerja kerana pengalaman yang diperolehi dijadikan panduan jika hendak mengusahakan ternakan lebah madu di masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 5:15 AM