HAFIFY Hafiz memeriksa tempayan madu di dalam sarang kelulut yang terletak di Kampung Pasir Ambor.
HAFIFY Hafiz memeriksa tempayan madu di dalam sarang kelulut yang terletak di Kampung Pasir Ambor.
Teks dan gambar Amran Yahya

Percaya atau tidak rasa dan khasiat madu bergantung kepada pengaruh persekitaran sesebuah kawasan terutama bunga yang menjadi sumber makanan kepada koloni berkenaan.

Ia dibuktikan seorang pengusaha, Hafify Hafiz Saripudin, 29, apabila kelulut diusahakan di kawasan ladang herba di Kampung Pasir Ambor, Kuala Pilah, Negeri Sembilan menghasil­kan produk berkhasiat.

Malah, sebagai testimoni adiknya yang menghidap penyakit leukemia kronik tahap empat pada 2011 turut menggunakan madu kelulut.

"Masyarakat sedia maklum madu lebah mempunyai khasiat luar biasa, tetapi madu kelulut yang diternak di dalam ladang herba dikatakan jauh lebih berkhasiat.

"Buktinya, doktor memaklumkan adik lelaki saya yang ketika itu berusia 13 tahun menghidap leukemia dan sukar untuk diubati, pulih de­ngan mengamalkan minum madu kelulut herba secara teratur selama enam bulan," katanya.

Mula menternak kelulut secara kecil-kecilan pada 2012, kini Hafify Hafiz mempunyai 200 sarang madu kelulut.

Ia diiktiraf Jabatan Pertanian negeri sebagai satu-satunya pengusaha madu yang menjadikan herba sebagai sumber makanan kelulut diternak.

"Saya pernah menghadiri kursus menternak kelulut di Sekayu, Terengganu pada 2012 bersama 45 peserta seluruh negara.

"Ketika itu, difahamkan saya antara satu-satunya penternak kelulut herba di negara ini," katanya.

Menurut Hafify Hafiz, madu kelulut sentiasa mendapat permintaan berterusan pelanggan dan antara spesies atau koloni kelulut di ladangnya adalah tetrigona, homotrigona, odontorigona, lophotrigona dan tetragonilla.

"Selain madunya, kelulut juga boleh menghasilkan propolis yang bernilai tinggi dan mempunyai khasiat perubatan.

"Propolis terhasil daripada struktur binaan sarang kelulut dan tempayan simpanan madu yang dihasil­kan kelulut. Jika disimpan ia menjadi seperti ketulan batu," katanya.

Bagi penggunaanya, ia perlu ditumbuk hancur dan dicampur dengan madu kelulut herba serta diminum dengan teratur.

"Inilah yang diamalkan adik saya hingga dia sembuh," katanya ditemui di kampung itu baru-baru ini.

Hafify Hafiz berkata, rasa setiap madu kelulut berbeza mengikut spesies dan sumber makanan diperolehnya.

"Kebanyakan madu kelulut diternak di ladang biasa rasanya manis, sementara di ladang herba menghasil­kan madu masam.

"Antara pokok herba terdapat di ladang saya adalah tongkat ali, mahkota dewa, pecah beling, mas cotek, pokok pelanduk dan buah ajaib," katanya.

Pokok lain seperti belimbing madu, bidara, pokok kenanga, sirih, limau purut dan serai turut ditanam dan pokok ini juga mempunyai khasiatnya yang tersendiri.

Menurutnya, bagi memudahkan proses me­ngambil madu dari tempayan, dia menggunakan pam khas iaitu vakum (penyedut hampagas) bagi membantu mempercepatkan proses pengambilan madu.

"Kira-kira 200 sarang kelulut ini mampu menghasilkan hampir 80 kilogram madu sebulan dengan kekerapan pengambilan dua kali sebulan.

"Madu kelulut biasa dijual RM150 sekilogram sementara RM300 sekilogram bagi madu herba," katanya.

Selain mengusahakan madu kelulut, Hafify Hafiz berkata dia juga ada menjual sarang kelulut bagi yang berminat untuk menternak secara kecil-kecilan.

"Sebuah sarang yang leng­kap dengan kelulut dijual pada harga RM450 dan sebelum dijual saya akan pastikan ia mempunyai telur yang menunjukkan sarang itu lengkap dihuni kelulut jantan dan betina," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 5:07 AM