MENUNJUKKAN sarang lebah mengandungi madu  yang dibawa turun daripada pokok.
MENUNJUKKAN sarang lebah mengandungi madu yang dibawa turun daripada pokok.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MESKIPUN 'diserang' ribuan lebah, pemburu tegar madu lebah ini tidak pernah mengalah.

Sebaliknya terus kekal berada di atas pokok berjam-jam lamanya untuk mengambil madunya.

Malah keterujaannya berganda apabila mendapati jumlah sarang lebah pada dahan pokok itu banyak dan bersaiz besar.

Hanya individu berhati kering sahaja berani melakukan aktiviti itu kerana selain 'berperang' dengan ribuan lebah, mereka perlu memanjat pokok tualang setinggi 36 meter, semata-mata untuk mendapatkan 'emas' di atas pokok berkenaan.

Itu rutin dilakukan Nizarulzaman Mohamad, 49, atau dikenali sebagai Man Lebah, hampir 30 tahun lalu.

Dia sudah meredah banyak kawasan hutan di negara ini untuk memburu madu lebah.

Nizarulzaman berkata, dia juga mencari madu lebah di kawasan hutan di Kepulauan Riau, Indonesia iaitu di Jambi, Siak, Tembilahan dan Palembang bagi memenuhi permintaan madu lebah.

Menurutnya, wilayah Tembilahan, Riau menjadi lubuk madu kerana mempunyai madu sepanjang masa yang dituai setiap tiga bulan sekali.

"Pengeluaran madu lebah spesies 'apis dorsata' di negara ini terlalu terhad dan tidak mencukupi untuk pasaran Malaysia.

"Waktu sesuai mengambil madu lebah 'apis dorsata' ialah pada Mac hingga Julai di sekitar Pahang.

"Kemuncak banyak madu ialah dalam masa dua bulan iaitu antara April dan Mei kerana pokok mengeluarkan bunga.

NIZARULZAMAN  menjadi pemburu madu lebah sejak 30 tahun lalu.
NIZARULZAMAN menjadi pemburu madu lebah sejak 30 tahun lalu.

"Kemudian lebah hinggap pada bunga berkenaan untuk menghisap nektar dan seterusnya menghasilkan madu pada sarangnya.

"Berdasarkan kajian saya, kebiasaannya lebah apis dorsata akan membuat sarang pada pokok di kawasan pinggir kampung terlebih dahulu.

"Seterusnya berpindah ke hutan mencari tempat tinggi untuk membuat sarang seperti pokok tualang serta pokok lain yang tinggi," katanya.

Katanya, rutinnya mengambil madu lebah apis dorsata bermula jam 9 pagi dengan membawa kelengkapan tukul besi, paku sepanjang 15 sentimeter (cm), baldi, tali dan tali pinggang keselamatan.

"Tukul besi digunakan untuk mengetuk paku pada batang pokok yang dijadikan sebagai anak tangga untuk memanjat pokok tualang.

SEDANG mengambil madu lebah 'apis dorsata'.
SEDANG mengambil madu lebah 'apis dorsata'.

"Tali digunakan untuk menurunkan baldi yang mengandungi madu lebah 'apis dorsata'," katanya.

Nizarulzaman berkata, dia memakai baju dan seluar tebal tiga lapis, sarung tangan dan topeng muka bagi melindungi daripada disengat lebah.

Dia yang menetap di Pahang berkata, tekniknya memanjat pokok adalah terkini yang mengambil masa kira-kira satu atau satu setengah jam untuk tiba di dahan.

"Tempoh masa mengambil madu di pokok adalah bergantung kepada jumlah sarang lebah terdapat pada pohon berkenaan.

"Sekiranya 30 sarang lebah, saya boleh menyiapkan proses itu dalam masa satu hari.

SARANG lebah atas dahan pokok.
SARANG lebah atas dahan pokok.

"Jumlah madu yang diperoleh pula bergantung kepada saiz sarang. Lazimnya satu sarang lebah boleh menghasilkan antara lapan hingga 18 kilogram madu," katanya.

Katanya lagi, rekod terbaiknya setakat ini ialah menuai 150 sarang lebah 'apis dorsata' di Tembilahan, Indonesia tahun lalu dan memperoleh 1.5 tan madu.

Jelasnya, dia menjadi pemburu madu lebah adalah kerana keseronokan, hobi dan sumber pendapatan lumayan.

"Tiga puluh tahun lalu, harga madu lebah bagi botol bersaiz 320 mililiter (ml) ialah RM15.

Tetapi sekarang harganya mencecah RM100.

MENGELUARKAN madu daripada sarang.
MENGELUARKAN madu daripada sarang.

"Kerana hobi ini juga saya tidak pernah serik walaupun pernah mengalami kecederaan pecah buku lali kaki akibat terjatuh pokok.

"Saya 'bercuti' daripada mengambil madu lebah kira-kira setahun. Namun kembali semua dengan aktiviti ini hingga kini dan tidak berhasrat untuk berhenti.

"Saya akan terus menjadi pemburu madu selagi dikurniakan kesihatan yang baik oleh Allah SWT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 6:31 AM