JANGAN abaikan kepentingan kemahiran lain yang memerlukan murid sentiasa bersedia untuk berfikir dalam menyelesaikan masalah. - Gambar Google
JANGAN abaikan kepentingan kemahiran lain yang memerlukan murid sentiasa bersedia untuk berfikir dalam menyelesaikan masalah. - Gambar Google
GURU perlu bijak mewujudkan persekitaran kondusif bagi pelajar agar selesa ketika mengikuti sesi pembelajaran. - Gambar Google
GURU perlu bijak mewujudkan persekitaran kondusif bagi pelajar agar selesa ketika mengikuti sesi pembelajaran. - Gambar Google
KEMAHIRAN komunikasi dua hala penting bagi memastikan mereka tidak akan pasif dengan persekitaran. - Gambar hiasan
KEMAHIRAN komunikasi dua hala penting bagi memastikan mereka tidak akan pasif dengan persekitaran. - Gambar hiasan
SESI pembelajaran dan pengajaran pastikan akan menjadi lebih menyeronokkan dengan pelaksanaan buku teks digital dan interaktif. - Gambar hiasan
SESI pembelajaran dan pengajaran pastikan akan menjadi lebih menyeronokkan dengan pelaksanaan buku teks digital dan interaktif. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin


Antara kenangan zaman persekolahan yang sukar dilupakan penulis ialah betapa je­rihnya ketika membawa beg sekolah. Beg yang sarat de­ngan buku teks, buku tulis dan buku latihan dianggarkan seberat kira-kira lima kilogram.

Sewaktu menyusun buku mengikut jadual pembelajaran harian, fikiran selalu saja terpaku. Puas memikirkan langkah sesuai agar beg dibawa tidak terlalu berat. Satu persatu buku dimasukkan ke dalam beg, namun kesudahannya tetap berat seperti biasa.

Begitulah rutin harian ketika bergelar murid. Dan kini selepas sekian lama akhirnya jawapan kepada beg berat terjawab apabila Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan kaedah pelaksanaan Buku Teks Digital Interaktif Pintar menjelang 2016.

Dengan pelaksanaan itu bermakna susah payah murid yang menanggung bebanan buku teks akan terlerai, selain memberi satu dimensi baru yang lebih segar lagi praktikal terhadap sistem pembelajaran dan pendidikan negara.

Mengulas perkara ini, Pengarah Penerbit Pejabat Karang Mengarang, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Nasir Nayan berkata, kaedah pembelajaran meng­gunakan Buku Teks Digital Interaktif Pintar bertujuan mentransformasikan sistem pendidikan negara ke peringkat lebih baik.

Katanya, pembaharuan pelaksanaan kaedah itu juga sejajar hasrat pihak terbabit untuk mengatasi isu beg sekolah berat yang membebankan murid sebelum ini.

"Usaha ini harus disokong kerana ia membawa satu transformasi kepada kaedah pembelajaran sedia ada ke arah lebih berimpak tinggi.

"Pelaksanaan ini juga selaras dengan keperluan semasa dunia pendidikan global yang berasaskan perkembangan teknologi dalam sistem pembelajaran dan pengajaran (P&P).

"Malah, pada masa sama memberi kelegaan kepada murid yang sebelum ini cukup terbeban dengan isu beg sekolah berat hingga memberi masalah kepada mereka," katanya.

Bagaimanapun, masih ada beberapa isu yang perlu diberi perhatian sebelum pelaksanaan dilakukan secara menyeluruh.

Menurutnya, walaupun pelaksanaan itu boleh memberi kebaikan kepada murid dan pihak berkaitan, ia juga perlu mengambil kira beberapa kepentingan lain.

"Antaranya ialah sejauh mana penggunaan kaedah pembelajaran cara itu boleh membantu murid me­nguasai beberapa kemahiran tertentu, antaranya menulis, mengira dan berfikir?

"Murid mungkin tiada masalah untuk membaca, tapi bagaimana pula dengan pembentukan kemahiran lain yang memerlukan mereka bertindak sendiri tanpa bantuan Buku Teks Digital Interaktif Pintar?

"Adakah dengan pe­ngenalan itu boleh memberi jaminan bahawa kemahiran lain seperti kemampuan berfikir untuk menyelesaikan masalah tidak ter­abai?" katanya.

Beliau berkata, matlamat Kementerian Pendidikan adalah untuk melahirkan murid yang mampu berfikir pada aras tinggi.

Namun, soalnya adakah modul yang diterapkan melalui buku teks digital itu boleh membantu murid berbuat demikian?

"Benar, cara pembelajaran begitu lebih menyeronokkan murid, tapi ia juga perlu diterapkan dengan elemen P&P agar mampu membuatkan mereka berfikir untuk menyelesaikan masalah.

Atau adakah mereka bergantung kepada sistem yang sudah ditetapkan dalam buku teks digital untuk menyelesaikan masalah berkenaan?" katanya.

Pelaksanaan Buku Teks Digital Interaktif Pintar adalah gelombang kedua inovasi dan transformasi buku teks digital, yang dijangka dilaksanakan mulai 2016 hingga 2025.

Ia adalah kesinambungan daripada gelombang pertama yang terdapat 313 judul buku teks, yang boleh di­akses murid, guru serta ibu bapa di laman 1BestariNet.

Dr Nasir berkata, pihak­nya berharap pelaksanaan kaedah itu akan memberi lebih banyak kelebihan dalam melahirkan murid bermaklumat pada masa depan, selain tidak mewujudkan masalah komunikasi sehala di antara murid dan guru.

"Apa yang dikhuatiri ialah ketaasuban pelajar pada buku teks digital boleh menjadikan mereka pasif dalam komunikasi.

"Ini kerana semuanya sudah ada di situ menyebab­kan mereka leka dan seronok melakukan sistem interaksi sehala, sekali gus menyekat kemampuan mereka membina kemahiran berkomunikasi dengan persekitaran hidup normal," katanya.

Beliau turut menekankan persediaan penuh yang perlu diberikan kepada golongan pelaksana sebelum melaksanakan kaedah pembelajaran berkenaan.

"Guru adalah mereka yang bertanggungjawab penuh dalam memastikan pelaksanaan kaedah ini berjaya mencapai matlamat sasaran.

"Justeru, semua maklumat, keperluan latihan dan sebagainya perlu dititikberatkan.

"Jangan timbul masalah kemudian hari kerana tanpa persediaan rapi oleh guru, murid pastinya tidak mudah memahami apa yang ingin diberikan melalui kaedah itu," katanya.

Mengenai tahap murid yang sesuai pula, beliau berkata, murid di sekolah rendah adalah mereka yang paling sesuai mengaplikasikan kaedah berkenaan terlebih dulu.

"Ini kerana murid pada tahap ini perlu diperkasakan dengan cara pembelajaran menyeronokkan bagi membentuk pemahaman mereka terhadap sesuatu subjek.

"Pelajar peringkat menengah, tumpuan utama adalah membina kecenderungan mereka berfikir menggunakan soko­ngan kaedah digital.

"Bagaimanapun, jangan mengetepikan kepentingan kemahiran lain yang perlu dilakukan secara manual kerana ia tetap penting bagi mengimbangi keseluruhan keperluan murid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:01 AM