GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


GURU boleh menggunakan pelbagai pelantar dalam talian serta media sosial yang bersesuaian untuk merancang, memberi arahan, tugasan dan kerja rumah kepada setiap murid dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi murid dengan akses Internet terhad, guru boleh meminta mereka melaksanakan aktiviti pembelajaran menggunakan buku teks, buku kerja, buku ulang kaji dan buku aktiviti tanpa keluar dari rumah bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam pembelajaran.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam pembelajaran dengan perlanjutan tempoh PKP.

“KPM komited memastikan murid tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan yang selamat. Guru tidak dibenarkan ke sekolah dan hendaklah melaksanakan semua tugasan dari rumah.

“Garis Panduan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) ketika PKP disediakan KPM dengan memperincikan peranan dan tanggungjawab pentadbir, guru, ibu bapa dan murid untuk memastikan penyampaian PdP yang berkesan,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, guru juga boleh merujuk kepada pelantar pembelajaran yang disediakan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah atau pelantar pembelajaran lain yang bersesuaian.

“Pelantar pembelajaran yang disediakan KPM ialah MOE-DL dan boleh diakses melalui http://www.moe-dl.edu.my.

“Pelantar ini menyediakan pautan kepada Google Classroom dan Microsoft Teams untuk tujuan PdP, buku teks digital, video PdP (EduwebTV/CikgooTube) dan pautan aplikasi yang membantu PdP seperti Edpuzzle (aplikasi pengajaran menggunakan video secara interaktif), Quizizz (kuiz berbentuk permainan) dan Kahoot (pembelajaran berasaskan permainan).

“Di samping itu, ibu bapa boleh mengakses EduwebTV (koleksi video) dan CikgooTube (perkongsian koleksi video daya usaha kreativiti guru) bagi membantu pembelajaran anak di rumah melalui http://eduwebtv.moe.edu.my dan http://bit.ly/cikgootube,” katanya.

Katanya, guru diberi fleksibiliti dari segi masa PdP, kaedah membimbing murid, menyemak dan memeriksa latihan, tugasan, kerja rumah murid.

“Penghantaran dan pengambilan bahan cetak membabitkan pergerakan dalam tempoh PKP adalah dilarang sama sekali.

“Berkat kerjasama pentadbir, guru, ibu bapa dan murid, KPM yakin pembelajaran murid dapat dilaksanakan dengan berkesan walaupun dalam keadaan mencabar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 1:50 PM