GAMBAR hiasan. FOTO arkib Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO arkib Bernama
Dr Ilyana Jalaluddin


SISTEM pembelajaran di Malaysia berubah selepas kerajaan memperkenalkan dasar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 melalui Pelan Transformasi Sekolah 2025 (TS25).

Pelan ini menyenaraikan penambahbaikan dalam pentadbiran, pembelajaran dan persekitaran sekolah yang mampu membantu dan menyokong pembelajaran abad ke-21.

Lantaran itu, 11 dasar diketengahkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia antaranya Kemenjadian Pelajar di mana pendidikan ke arah melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan, berkemahiran berfikir aras tinggi dan berkemahiran dwibahasa.

Kemahiran ini seharusnya dapat dioptimumkan melalui pengaplikasian teknologi dan keupayaan pelajar itu sendiri.

Justeru, dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia juga, teknologi dalam pendidikan menjadi isu utama yang perlu diterapkan dan dipraktikkan di dalam bilik darjah.

Ini menunjukkan perubahan Pendidikan Malaysia adalah ke arah penggunaan gajet dan komputer secara optimum sejajar dengan anak didik yang kini dilabel sebagai pelajar digital.

Walaupun pembelajaran abad ke-21 ini adalah satu perubahan yang drastik dalam sistem pengajaran dan pembelajaran berupaya meningkatkan kualiti pendidikan Malaysia agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem pendidikan di luar negara.

Hakikatnya, pembelajaran abad ke-21 ini adalah adaptasi dari sistem pendidikan di Finland, antara sistem pendidikan terbaik di dunia yang mengetengahkan elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti dan aplikasi etika dan nilai murni.

Mengimbau kembali lawatan penulis ke salah satu sekolah berprestij tinggi di Timur Selatan England, penulis berpeluang melihat bagaimana elemen pembelajaran abad ke-21 dan teknologi ini dapat diterapkan di dalam sistem pendidikan di United Kingdom (UK).

Sekolah itu diiktiraf sebagai (free school) sekolah harian biasa berprestasi tinggi dan menerima maklum balas mengagumkan terutama pencapaian akademik dan pentadbiran.

Gajet dalam pembelajaran

Di bawah inisiatif pembiayaan dan dana oleh Jabatan Pendidikan dan Kemahiran, semua sekolah di UK tanpa mengira kategori sekolah sudah mula menggunakan SMART board dan ia telah menjadi keperluan asas bagi proses pengajaran dan pembelajaran di sana.

Peranti ini mengubah cara guru mengajar atau dengan erti kata lain peralihan dari chalk and talk kepada all in just one single click.

Penulis diberi peluang melihat penggunaan Smart Board dalam kelas Matematik Tahun 5 dan jelas kelihatan kegunaan papan pintar ini menjadikan Matematik sebagai satu subjek yang lebih interaktif dan seronok untuk dipelajari.

Dengan perisian Smart Board ini, pembelajaran kolaboratif menjadi mudah dan interaksi lebih meluas berikutan jumlah pengguna (user base) yang tinggi di seluruh dunia.

Pelajar bukan saja boleh memanipulasi objek di papan pintar malah guru boleh menunjukkan secara visual jalan kerja pengiraan sesuatu formula.

PASUKAN terakhir Malaysia MAS-01 SMART, Nadma dari Gaziantep selamat tiba di Istanbul, semalam. FOTO Ihsan pembaca.
PASUKAN terakhir Malaysia MAS-01 SMART, Nadma dari Gaziantep selamat tiba di Istanbul, semalam. FOTO Ihsan pembaca.

Proses manipulasi objek ini juga dipertingkatkan lagi dengan penggunaan aplikasi Augmented Reality dan Visual Reality yang membolehkan pembelajaran maya bergabung di alam realiti.

Pergerakan imej, objek berwarna-warni dan bunyi secara visual ini membantu pelajar menghitung dan menyelesaikan angka dengan mudah.

Walaupun kos pemasangan dan penyelenggaraannya sangat mahal, kecanggihan teknologi ini sememangnya membantu meningkatkan prestasi dalam pengajaran dan pembelajaran terutamanya tahap pembabitan pelajar sepanjang pengajaran.

Budaya membaca

Budaya membaca sudah menjadi kebiasaan di UK. Dari sekilas pandangan, penulis dapat melihat pelajar menjadikan bacaan sebagai amalan tidak kira tempat mereka berada.

Satu perkara yang menarik perhatian penulis ialah penggunaan peranti kindle dalam kalangan pelajar menjadikan mereka lebih bersemangat untuk membaca kerana fungsi dan ciri-ciri peranti kindle mempunyai banyak kelainan berbanding buku yang berkonsepkan ciri 'fizikal'.

Pelajar juga mampu melakukan rujukan menggunakan kamus atau buku rujukan lain pada bila-bila masa.

PASUKAN SMART bersiap dengan peralatan bagi membantu operasi SAR gempa bumi di Turkiye. FOTO   ihsan SMART
PASUKAN SMART bersiap dengan peralatan bagi membantu operasi SAR gempa bumi di Turkiye. FOTO ihsan SMART

Fungsi tambahan seperti marker dan tagging membolehkan pembacaan sentiasa dapat dipantau dengan lebih dekat, dan malah dijadikan persaingan dalam kalangan pelajar dalam aktiviti pembacaan.

Kindle juga mempunyai pelbagai pilihan jenis-jenis buku yang berbeza untuk dibeli atau dipinjam melalui aplikasi Amazon tanpa perlu bergerak ke kedai.

Kementerian Pendidikan di UK telah memberi akses kepada pelajar sekolah, manakala, kos yang mampu milik untuk pelajar universiti dan awam umumnya.

Ini menyebabkan ianya digunakan secara meluas di sekolah, dan memudahkan pelajar untuk mendapatkan buku dan seterusnya menggalakkan lagi pembacaan.

Kehidupan dan realiti

Berbalik kepada sistem pendidikan di Malaysia, banyak masa diperlukan untuk mewujudkan sistem pendidikan yang sama seperti di UK.

Beberapa aspek perlu dipertimbangkan selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia seperti kelengkapan, prasarana dan kaedah pedagogi.

Kaedah pedagogi yang lebih fleksibel dan kreatif perlu diwujudkan di dalam bilik darjah untuk memastikan para pelajar belajar dengan penuh minat.

Fleksibiliti dan kreativiti ini akan lebih berkesan apabila disokong oleh teknologi moden dan teknologi maya.

Secara realitinya, ini pasti akan meningkatkan kos pendidikan kerajaan Malaysia, tetapi apabila dilihat dari sudut kebaikannya, pelajar akan mendapat banyak pengalaman yang berbeza secara akademik dan bukan akademik apabila pendedahan pembelajaran secara aktif dan rekursif diamalkan, serta bukanlah berfokuskan kepada kuantiti produk atau markah semata.

Projek dan aktiviti berkumpulan juga boleh diperkenalkan lebih banyak dengan kelengkapan dan kemudahan teknologi maya kerana gabungan pembelajaran maya dan realiti mampu mendorong pelajar meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dan keupayaan melakukan kerja secara individu atau berkumpulan.

Melalui cara pembelajaran ini, pelajar akan mempelajari banyak perkara melalui pengalaman dan pembelajaran yang lebih holistik merangkumi kemahiran berfikir, pengetahuan, memimpin dan pelaksanaan PdPR yang lebih inovatif.

Secara keseluruhannya, sistem pendidikan di negara kita mampu berubah ke arah sistem yang lebih produktif dan pembelajaran aktif seperti yang telah dipraktikkan dan digunakan oleh sistem pendidikan di UK.

Kolaborasi, kemahiran berfikir aras tinggi, pembelajaran kendiri, fleksibiliti pedagogi dan kreativiti adalah tunjang utama dalam transformasi pendidikan di negara kita.

Namun begitu, pelan pembangunan pendidikan ini adalah satu langkah proaktif yang memerlukan kerjasama dari semua pihak bagi merealisasikan perubahan sektor pendidikan yang satu hari nanti akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang cemerlang dalam dunia pendidikan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 6:53 PM