Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Isu penolakan pembiayaan perumahan pembeli oleh pihak bank tempatan yang dilaporkan sebelum ini dikatakan memberi kesan kepada industri hartanah dan ia boleh dilihat menerusi laporan prestasi jualan ahli Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) pada tahun lalu.

Dalam laporan itu, menerusi kaji selidik yang dijalankan ke atas 125 ahli REHDA di seluruh negara bagi tempoh separuh pertama 2015 mendapati, seramai 35 peratus ahli berdepan dengan kegagalan mendapatkan pembiayaan berbanding 29 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

Pada masa sama, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) pula menafikan dakwaan bahawa kadar penolakan bagi permohonan pinjaman perumahan mampu milik adalah tinggi.

Pengerusi REHDA, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, pihaknya berharap Kementerian Kewangan dan Bank Negara tidak memperketatkan syarat pembiayaan kepada pembeli rumah pertama khasnya.

Beliau berkata, lebih khusus, jika pihak berkuasa kewangan negara memfokuskan kepada kemudahan pembeli pertama yang ingin membuat pembiayaan bagi rumah di bawah RM500,000 atau dalam segmen mampu milik.

“Kita perlu lihat bahawa kediaman adalah satu aset yang mempunyai kemampuan untuk meningkat nilainya setiap tahun berbanding pembiayaan lain seperti kereta.

“Kami berharap pihak Bank Negara dapat mempertimbangkan perkara ini kerana kita tidak meminta untuk pembiayaan dalam segmen mewah atau komersial, tetapi untuk rumah mampu milik di bawah harga RM500,000 dan pembeli rumah pertama,” katanya.

Fateh Iskandar berkata, pihaknya menghantar surat kepada Kementerian Kewangan untuk meminta pihak kerajaan dapat berbuat sesuatu mengenai isu berkenaan.

Selain itu, pihaknya juga berharap kerajaan dapat menambah lebih banyak peruntukan di dalam Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) yang menerima peruntukan sebanyak RM200 juta.

Katanya, antara kekangan pembeli untuk membeli rumah adalah kesukaran mendapatkan deposit selain kadar pelepasan peratusan pembiayaan yang tinggi.

“Orang ramai mampu membayar ansuran bulanan tetapi disebabkan kesukaran untuk mengumpulkan deposit dalam satu jumlah yang banyak, ia memberi bebanan kepada mereka.

“Saya melihat langkah yang dilaksanakan kerajaan memperkenalkan MyDeposit adalah baik dan ia perlu ditambah memandangkan permintaannya tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:03 AM
FATEH Iskandar (kiri) selepas merasmikan Mapex 2016 di Kuala Lumpur, semalam.
FATEH Iskandar (kiri) selepas merasmikan Mapex 2016 di Kuala Lumpur, semalam.