Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Tinggal empat hari lagi kita bakal menjengah ke tahun 2015 yang pada tahun ini pelbagai cabaran dalam sektor hartanah sememangnya berlaku daripada pelbagai aspek.

Antaranya, spekulasi harga jualan hartanah yang menunjukkan peningkatan setiap tahun menyebabkan pembeli perlu bijak mengatur strategi bagi mendapatkan aset berkenaan sama ada untuk didiami atau menjadikannya sebagai pelaburan.

Sepanjang 2014, didapati beberapa perkara yang menjadi topik hangat diperkatakan antaranya pengenalan Kadar Dasar Semalam (OPR) daripada tiga peratus kepada 3.25 peratus pada Julai lalu dan hasrat kerajaan untuk membangunkan lebih banyak rumah mampu milik.

Penganalisis hartanah, Tuanbri Hashim berkata, ada beberapa perkara yang boleh dilihat mengenai prestasi hartanah sepanjang tahun ini berbanding tahun lalu antaranya daripada segi pasaran, polisi kerajaan dan pembeli.

Beliau berkata, daripada segi pasaran, terdapat peningkatan harga jualan kediaman secara purata antara 10 hingga 20 peratus tahun ini berbanding 2013 dan ia adalah situasi biasa berlaku setiap tahun berikutan peningkatan harga kos pembinaan atau tanah yang berkembang.

“Walaupun kerajaan meningkatkan kadar Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) daripada 15 peratus kepada 30 peratus bagi tempoh pegangan tiga tahun pertama serta penghapusan skim insentif oleh pemaju perumahan (DIBS) yang dilihat boleh mengawal harga jualan tetapi penurunannya tidak ketara.

“Dalam hal lain, pengenalan OPR sebenarnya tidak memberi begitu banyak kesan kepada pembeli untuk membayar ansuran pembiayaan mereka kerana ia meningkat pada kadar sedikit dan tahap kemampuan masih ada,” katanya.

Katanya, tahun ini kemudahan untuk membuat pembiayaan perumahan antara pembeli dan pihak bank tidak mengalami masalah yang ketara walaupun syarat pinjaman bank diperketatkan pada 2013.

“Namun, jika dilihat daripada kemampuan orang ramai untuk membeli rumah pada tahun ini mungkin agak menurun berikutan terdapat peningkatan kos sara hidup disebabkan pengurangan subsidi dan rakyat lebih berhati-hati berbelanja.

“Secara kesimpulan, pembeli pada tahun ini lebih banyak menerima manfaat untuk memiliki aset hartanah memandangkan terdapat pelbagai harga promosi serta pakej jualan daripada pemaju,” katanya.

Tuanbri berkata, berbanding pemaju, mereka mungkin berdepan dengan cabaran untuk menjual harga kediaman atas RM500,000 pada akhir 2014.

“Walaupun harga kediaman di bawah RM500,000 dilihat tinggi, tetapi ia masih mendapat permintaan daripada pembeli tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 9:38 PM