Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Kegagalan mendapatkan pinjaman dan pembiayaan akhir bagi pembelian hartanah bukan sahaja memberi kesan kepada pembeli, malah mengakibatkan pemaju menerima impak negatif terhadap jualan unit hartanah kediaman dan komersial.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, pada separuh kedua tahun lalu, kegagalan pembeli mendapatkan pinjaman akibat syarat terlalu ketat bank menjadikan faktor itu sebab utama unit hartanah tidak terjual sebanyak 62 peratus kebanyakannya di Selangor, Johor dan Pahang.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu lebih fleksibel supaya pembeli rumah pertama mempunyai rumah mampu milik, sekali gus masalah bekalan hartanah kediaman tidak timbul.

“Kita melihat trend penolakan pinjaman bank pada separuh kedua 2015 berada di paras membimbangkan dengan kadar 68 peratus potensi gagal berbanding 52 peratus pada separuh pertama tahun sama.

“Malah, untuk 2016 kita berharap ia kembali stabil dengan kemudahan pinjaman perumahan mudah untuk pembeli, sekali gus memberi peluang mereka memiliki rumah pertama,” katanya pada taklimat media Kaji Selidik Industri Hartanah Separuh Kedua 2015 REHDA di sini, semalam.

Katanya, selain kesukaran mendapatkan pinjaman dari institusi perbankan, faktor lain menyebabkan wujud unit hartanah tidak terjual adalah kuota Bumiputera, permintaan dan minat rendah serta lokasi.

Sementara itu, FD Iskandar berkata, projek pembangunan bagi rumah kos rendah terus menjadi tumpuan dalam pembinaan rumah mampu milik apabila pada separuh kedua tahun lalu, 914 unit dilancarkan dengan pembelian mencecah 601 unit berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Katanya, walaupun pelancaran projek baharu merosot enam peratus pada separuh kedua 2015, namun jualan menunjukan peningkatan yang memberangsangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 8:56 AM