Khairy  menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2014.
Khairy menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2014.

Kuala Lumpur: Proses peremajaan UMNO rancangan jangka panjang parti yang perlu disingkap secara menyeluruh bagi mengukuhkan hubungan antara pemimpin muda dan lama, bukannya semata-mata merujuk kepada faktor usia.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pada mulanya Pemuda UMNO menerima proses peremajaan parti dengan semangat yang berkobar-kobar tetapi disebabkan salah faham yang berlaku, ia dibimbangi mampu menjadi bom jangka jika tidak diperjelaskan segera.

“Saya khuatir ke mana isu ini akan pergi kerana ia bakal mewujudkan salah faham. Daripada (asalnya) satu cadangan untuk mengukuhkan parti, ia akhirnya bakal menjadi satu bom jangka yang boleh meletup.

“Isu itu sedikit sebanyak mula mengubah hubungan antara sesama ahli parti apabila ditafsirkan sebagai cuba merebut jawatan. Ada kata nak lawan Ketua Bahagian. Jika persepsi ini tidak dibetulkan, saya risau (proses) peremajaan itu tidak akan berjaya, malah menyebabkan tonggak kekuatan parti terjejas,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 di PWTC, semalam.

Beliau mengambil contoh kemenangan pemimpin senior dari Parti BJP India yang menewaskan calon muda dari Parti Kongres disebabkan calon senior itu mengambil pendekatan gaya orang muda seperti menggunakan platform media sosial.

“Adakah (proses) peremajaan itu disebabkan umur? Tidak. Orang lama berjaya ‘mengambil pendekatan orang muda’, itulah yang boleh menang. Lihat saja pada Presiden kita, bukannya muda tetapi mempunyai pengikut FB (Facebook) berjuta-juta dan pendekatan itu dibuat untuk orang muda. Itulah peremajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa ahli Pemuda supaya jangan terlalu syok sendiri dengan konsep peremajaan itu kerana bukan laluan percuma yang dicari pergerakan itu.

“Jika tak layak, memanglah tidak layak. Kita orang Melayu, cara Melayu adalah menghormati yang lama. Orang muda lebih arif hal orang muda walaupun orang tua menyentuh hal orang muda, banyak isu dibangkitkan oleh orang muda,” katanya.

Khairy turut menjelaskan bahawa lima juta pengundi baru bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang akan datang.

“Walaupun faktor orang muda bukanlah satu-satunya daya tarikan tapi pasti ada peranannya.

“Seperti yang Puteri sebut mengenai YB kempunan dari DAP. Ahli parti yang muda jadi calon, ada yang tanya calon itu berjaya tarik anak muda. Jawapannya mudah, sebab dia diberi harapan walaupun palsu, bukan sebab dia hebat tetapi calon sebut jadi ‘somebody from nobody’ tapi insya-Allah kalau UMNO angkat anak-anak muda UMNO, pasti lebih hebat.

“Saya yakin jika kita semua bersetuju maksud parti kita yang mahu menjamin kesegaran parti, maka peremajaan ini menguatkan kita, bukanlah melemahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:12 AM