Shahelmey (kanan) menggunting rambut salah seorang kanak-kanak yang menyertai program berkenaan. FOTO Razik Zayad
Shahelmey (kanan) menggunting rambut salah seorang kanak-kanak yang menyertai program berkenaan. FOTO Razik Zayad
Razik Zayad


KEPUTUSAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Datuk Au Kam Wah untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah bukti transformasi Barisan Nasional (BN).

Naib Ketua Pemuda UMNO Sabah, Shahelmey Yahya berkata, keputusan Kam Wah itu sekali gus memperlihatkan permuafakatan dalam parti komponen BN untuk memilih calon yang bakal bertanding pada pilihan raya akan datang.

Beliau berharap, proses peremajaan itu dapat memperkukuhkan lagi jentera parti dan menarik minat pengundi, terutama dalam kalangan belia untuk terus menyokong BN.

"Kami menghargai keputusan Kam Wah yang tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang bagi memberi laluan kepada calon baru.

"Saya berharap ia petanda peremajaan politik dalam BN dan dengan proses ini, kita akan terus memperkukuhkan parti sekali gus menarik minat pengundi bagi menyokong BN," katanya ditemui dalam program gunting rambut percuma sempena program Kembali Ke Sekolah anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Putatan di Fendy Hair Studio, Putatan, hari ini.

Semalam, Kam Wah yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan mengumumkan tidak bertanding pada PRU-14 bagi memberi peluang kepada pemimpin muda berkelayakan dan mempunyai ilmu tinggi dalam bidang politik, sejajar keperluan negara masa kini.

Kam Wah dilaporkan berkata, keputusan itu sudah dimaklumkan kepada Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Pengerusi BN negeri, Tan Sri Musa Aman selain Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Elopura, Chan Tzun Hei menjadi calon penggantinya.

Sementara itu, mengulas mengenai program gunting rambut itu, Shahelmey yang juga Ketua Pemuda UMNO Putatan berkata, ia adalah inisiatif pihaknya mengurangkan beban atau kos ibu bapa menjelang sesi persekolahan 2018 yang bermula lusa.

"Kita anggarkan lebih 200 kanak-kanak atau murid terbabit dalam program ini dan ia adalah inisiatif Pemuda UMNO Putatan yang prihatin terhadap usaha mengurangkan beban atau kos ibu bapa menjelangnya sesi persekolahan baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 3:09 PM