Kuala Lumpur: Seorang wakil Pergerakan Pemuda Umno hari ini mencadangkan supaya Perlembagaan Umno dipinda untuk meremajakan parti itu dengan mewujudkan jawatan khas untuk golongan muda di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT).

Wakil Pemuda Melaka Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pindaan itu perlu bagi memberi ruang kepada idea dan penglibatan anak muda dalam program atau aktiviti anjuran parti, serta bagi mengambil pendapat mereka dalam menentukan dasar dan hala tuju parti.

Ketua Pemuda Masjid Tanah itu berkata, Umno harus mengambil serius mengenai pola pemikiran anak muda, terutama cara mereka melihat isu-isu yang berkaitan politik, dasar dan hala tuju negara.

“Kita berterima kasih pada pemimpin yang (sudah pun) beri ruang dan peluang kepada kita, tapi ia terlalu kecil, sikit, kalau nak diperatuskan jumlah ahli Pemuda dalam kepimpinan parti, berapa ramai sahaja?

Kita harap perlembagaan parti dapat dipinda supaya sekurang-kurangnya empat calon muda mendapat tempat bermula daripada cawangan, bahagian, dan MT. Kita juga mohon beri ruang kepada generasi muda untuk tentukan dasar kerajaan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di sini hari ini.

Beliau turut menggesa pemimpin peringkat atasan, baik dalam pimpinan parti, mahupun dalam kabinet agar lebih bijak dalam menangani isu berkaitan rakyat, ataupun yang menyentuh isu sensitif.

“Kegagalan pemimpin parti uruskan isu, seperti yang kita dapat lihat, dalam menguruskan isu sensitif, mereka kadang-kadang lambat beri respons yang meyakinkan dan sering jadi bahan lawak pada generasi muda.

Kadang-kadang mereka juga memberi respons dalam keadaan beremosi, dan perlihatkan kedangkalan. Akhirnya kami di peringkat akar umbi selalu jadi bahan atas kelemahan pemimpin jawab isu,” katanya lagi.

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Kinabatangan Aksyah Nasrah pula meminta agar parti membantu menyediakan ruang latihan bagi pemuda di peringkat kementerian dan badan-badan kerajaan, tanpa melalui karenah birokrasi.

Wakil Pemuda Sabah itu berkata, latihan berkenaan merupakan salah satu strategi pengkaderan politik yang boleh Umno, selaku parti tunjang dalam kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) menarik minat anak muda, terutama golongan mahasiswa.

“Kita minta rakan-rakan dalam pimpinan Pemuda lihat kembali bagaimana kita kaderkan pemimpin Pemuda dan bagaimana kita tonjolkan mahasiswa sebagai pelapis kita.

Tujuan kita mengkaderkan ini supaya mereka dapat diberi peluang dan ruang yang cukup dalam proses membuat dasar parti dan kerajaan, serta membolehkan mereka mempunyai ilmu yang cukup untuk berhadapan dengan dengan golongan intelektual dari sebelah sana,” katanya lagi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 7:31 PM