SERANGAN terbaru Taliban kelmarin meragut nyawa 12 rekrut tentera.
SERANGAN terbaru Taliban kelmarin meragut nyawa 12 rekrut tentera.
AFP

Kabul: Kumpulan Taliban semalam mengumumkan permulaan ‘serangan musim bunga’ mereka walaupun ketika kerajaan Afghanistan berusaha membawa mereka ke meja rundingan bagi mengakhiri konflik bersenjata yang berlarutan sejak sekian lama.

Dalam satu kenyataannya, kumpulan itu berkata, mereka akan melancarkan serangan besar-besaran terhadap kedudukan ‘musuh’ di seluruh negara sepanjang serangan yang mereka gelar ‘Operasi Omari’.

Nama itu diambil sempena nama pengasas Taliban, Mullah Omar, yang kematiannya diumumkan tahun lalu.

Kenyataan itu menjanjikan serangan taktikal terhadap kubu kuat ‘musuh,’ yang merujuk kepada pengeboman berani mati - strategi yang sudah sekian lama dilakukan Taliban terhadap tentera dan polis Afghanistan.

Kumpulan itu menganggap pasukan keselamatan berkenaan sebagai ‘boneka’ barat yang perlu diperangi.

Kelmarin, 12 rekrut tentera terbunuh dalam serangan di timur negara itu.

Taliban yang melancarkan pemberontakan sejak digulingkan pada 2001, juga berikrar menyerang 13,000 anggota pasukan NATO yang ditempatkan di negara itu.

“Dengan menggunakan pelbagai strategi, kami berharap semangat tentera asing akan luntur dan memaksa mereka berundur dari negara kami,” menurut kenyataan itu.

Taliban menetapkan pengunduran semua tentera asing sebagai syarat untuk menyambung semula rundingan damai dengan kerajaan.

Rundingan itu bermula musim panas lalu di Pakistan, tetapi berakhir secara mengejut selepas berita mengenai kematian Mullah Omar dua tahun lalu terbongkar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 11:16 AM