Kabul: Kumpulan Taliban Afghanistan semalam mengumumkan nombor telefon yang boleh dihubungi sepanjang 24 jam dan alamat e-mel untuk kakitangan kerajaan yang bersedia berpaling tadah menyebelahi mereka.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman webnya, kumpulan itu berkata: “Emiriah Islam menyediakan keselamatan kepada sesiapa yang bersedia berpaling tadah dari rejim boneka Kabul.

“Anda boleh menghubungi kami bila-bila masa menerusi telefon dan alamat e-mel ini.”

Langkah itu menggambarkan usaha Taliban untuk meraih sokongan orang awam selepas sebahagian anggotanya berpaling tadah kepada militan Negara Islam (IS) sejak beberapa bulan lalu.

Taliban jarang berhubung dengan pegawai kerajaan yang selama ini sering menjadi sasaran serangan mereka.

Apabila wartawan AFP menghubungi satu daripada nombor itu, seorang lelaki yang mengenalkan dirinya Mullah Jalid berkata, mereka menerima lebih 20 panggilan daripada kakitangan kerajaan.

Bagaimanapun, dakwaan itu tidak dapat disahkan.

“Mereka bersetuju menyertai kami. Kami mempelawa semua kakitangan kerajaan, baik tentera mahupun orang awam. Kami mengalu-alukan hasrat mereka dan akan melindungi mereka daripada kerajaan boneka Afghanistan,” kata Jalid. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 9:35 AM