MULLAH
MULLAH
Reuters

Kabul: Pihak berkuasa Afghanistan semalam masih menyiasat laporan yang mendakwa ketua Taliban, Mullah Omar meninggal dunia.

Omar tidak muncul di tempat awam sejak melarikan diri selepas pemerintahan Taliban di Afghanistan ditumbangkan tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat (AS) pada 2001.

Sejak beberapa tahun terdapat spekulasi yang berlegar dalam kumpulan itu bahawa Omar sudah hilang upaya atau meninggal dunia.

“Kami turut memperoleh laporan yang mendakwa Omar sudah meninggal dunia.

“Kami masih berusaha mengesahkan laporan itu dan sejurus mendapat maklumat atau petunjuk yang tepat kami akan memberitahu media serta rakyat Afghanistan,” kata jurucakap Presiden Ashraf Ghani, Sayed Zafar Hashemi.

Seorang komander Taliban yang berpangkalan di Pakistan sebelum ini berkata, Omar meninggal dunia kerana sakit biasa.

Bagaimanapun, dia tidak memberitahu bila pemimpin itu meninggal dunia.

Katanya, satu kumpulan dalam Taliban mahu anak Omar memimpin pergerakan berkenaan.

Bagaimanapun, satu lagi kumpulan mahu pemimpin politik, Akhtar Mohammad Mansour yang menyokong rundingan damai dengan Kabul mengambil alih jawatan Omar.

Namun, seorang pegawai kanan tentera Pakistan yang mempunyai hubungan baik dengan kumpulan Taliban tidak dapat mengesahkan kematian pemimpin itu.

Taliban dan Kabul kini dalam usaha membuat persediaan untuk rundingan damai seterusnya di lokasi yang masih belum dimuktamadkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:08 AM