Halimah (tiga dari kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Latiff Bandi (dua dari kiri) dan Pangarah Urusan Johor Land Berhad Lukman Abu Bakar (kiri) melihat model projek perumahan mampu milik di majlis penyerahan surat tawaran skim perumahan mampu milik swasta (MyHome) di Bandar Dato Onn, Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique menafikan beliau terbabit dalam agenda menggulingkan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau menasihati masyarakat Johor supaya tidak mudah mempercayai sebaran palsu seumpama itu.

Menurutnya, individu yang sengaja mencetuskan isu berkenaan diibaratkan seperti langau dan kemungkinan mempunyai niat buruk.

Katanya, semua timbalan menteri dari Johor membawa mandat kerajaan negeri kepada kerajaan pusat dan menjalankan tugas untuk rakyat serta tidak melayan perkara sebaran seumpama ini.

"Menjadi antara timbalan menteri dari Johor, saya sendiri menyokong kepimpinan beliau dan setia kepada Raja dan negara.

“Jelas bawah kepimpinan beliau, pelbagai perubahan dapat dilihat dan semua perancangan dan pelaksaan hanya berasaskan agenda rakyat.

"Beliau memahami kehendak rakyat dan sebaran ini boleh menjatuhkan imej kerajaan negeri dan nama baik beliau," katanya ketika mengulas sebaran di laman sosial baru-baru ini mendakwa kononnya terdapat timbalan menteri dari negeri ini mahu menggulingkan kepimpinan Menteri Besar Johor.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) Bandar Dato' Onn di Tebrau di sini, pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 1:04 PM