DR Sahruddin bersalam dengan orang ramai di Johor Bahru. FOTO/ Zain Ahmed
DR Sahruddin bersalam dengan orang ramai di Johor Bahru. FOTO/ Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein


MENTERI Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal mahu memastikan kebajikan rakyat diutamakan dan rakyat menikmati segala kemajuan serta pembangunan yang dirancang kerajaan.

“Saya akan cuba menggalas amanah yang diberikan kepada saya dengan sepenuh hati untuk memastikan kemajuan negeri Johor.

“Yang penting sekarang, rakyat mesti dapat menikmati segala kemajuan atau pembangunan yang kita rancang.

“Dengan bantuan semua ahli Yang Berhormat dan sabahat, insya-Allah kita dapat membawa Johor lebih maju ke hadapan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor, hari ini.

Turut hadir, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Timbalan Presiden PH Johor merangkap Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Aminolhuda Hassan.

Dr Sahruddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Osman sepanjang menerajui pucuk pimpinan PH dan negeri Johor.

“Terima kasih kepada Datuk Osman Sapian kerana beliau sebenarnya penggerak utama kami di sini bersama kepimpinan pusat untuk memastikan Johor berada di bawah kerajaan PH.

“Sepanjang beliau (Osman) menerajui Johor, banyak perancangan yang beliau lakukan, saya akan teruskan segala agenda yang direncanakan,” katanya.

Sementara itu, Aminolhuda mewakili seluruh kepimpinan PH negeri menerima dengan sebulat suara dan sepenuh hati pelantikan Menteri Besar baharu itu.

“Kami berikrar akan terus bersama-sama memajukan negeri Johor. Kita akan bersama-sama bekerja untuk memastikan rakyat terus diberi perhatian demi Johor Berprestasi Tinggi, Bangsa Johor Lestari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 2:00 PM