Baru-baru ini penyanyi utama kumpulan Bunkface, Sam mengaku dia dan Aida Azira Hussin, penerbit rancangan di TV3 bertunang pada 10 Oktober lalu tetapi tidak pula menyatakan bila majlis pernikahan dan persandingan bakal dijalankan.

Bagaimanapun Cik Pang dapat tahu, persiapan untuk majlis mereka rancak berjalan sebaik saja pengumuman mengenainya dibuat dan pasangan ini bercadang mengikat cinta mereka dengan tali pernikahan pada akhir tahun depan.

Dalam sibuk membuat persiapan itu dan ini, Sam dan Azira berdepan pula masalah mendapatkan dewan bagi mengadakan majlis resepsi.

Tiada pilihan dan bagi memudahkan jemputan, pasangan ini memilih mempercepatkan majlis pernikahan dan persandingan pada Mei depan.

Ini kerana dewan yang mereka mahukan di Subang Jaya hanya kosong pada Mei. Disebabkan itu juga segala kerja persiapan terpaksa dipercepatkan kerana kalau hendak diikutkan, pasangan ini hanya ada enam bulan lagi.

Kerja kahwin memang memeningkan kepala, tapi mujur ramai yang membantu. Kata Cik Pang pada pihak yang menyampaikan berita gembira ini, tidak perlu buat besar dan terlalu sakan.

Namun katanya, Sam dan Azira mahu berkongsi kegembiraan mereka dengan ramai pihak, jadi tentu jemputan juga ramai. Disebabkan itu mereka harus memilih tempat sesuai dengan majlis yang dirancang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:05 AM