SEORANG pembawa kavadi bersama sekumpulan pelancong.
SEORANG pembawa kavadi bersama sekumpulan pelancong.
 PELANCONG dari Jerman tidak melepaskan peluang melihat suasana sambutan Thaipusam di Batu Caves.
PELANCONG dari Jerman tidak melepaskan peluang melihat suasana sambutan Thaipusam di Batu Caves.
Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor semalam hadir pada sambutan Thaipusam ke-125 tahun di Kuil Sri Subramaniyar Swamy di Batu Caves dekat sini bersama jutaan penganut Hindu dan pelancong asing.

Seperti tahun lalu, tinjauan mesra beliau setiap kali sambutan Thaipusam disambut oleh ribuan rakyat Malaysia yang bersesak-sesak memenuhi pekarangan kuil berkenaan sejak awal pagi.

Beliau tiba pada pukul 10.30 pagi disambut oleh Presiden MIC G Palanivel, Naib Presiden Datuk M Saravanan, bekas presiden Datuk Seri S Samy Vellu dan barisan jawatankuasa tertinggi pengurusan kuil itu.

Sebaik tiba, kedua-dua tetamu kehormat berkenaan dikalungkan bunga malai dan selendang berwarna emas yang diletakkan di bahu mereka oleh Pengerusi Jawatankuasa kuil berkenaan Tan Sri R Nadarajah sebagai tradisi menyambut tetamu khas pada upacara tersebut.

Perdana Menteri berpakaian tradisional India, kurta berwarna krim dan Rosmah mengenakan pakaian merah jambu bercorak turut bersalam dan beramah mesra dengan pengunjung dan penganut Hindu di sekitar pekarangan kuil berkenaan sebelum bertolak pulang pada jam 11.30 pagi.

Dalam perutusan sempena Thaipusam kelmarin, Najib mengulangi komitmen kerajaan untuk terus membantu dan bekerjasama dengan masyarakat India berdasarkan ‘nambikei’ (kepercayaan) ke arah mengatasi pelbagai cabaran dihadapi masyarakat itu.

Beliau berkata, kerajaan komited membantu masyarakat India mencapai kejayaan dalam apa jua mereka perjuangkan.

Sementara itu, sebanyak 1.6 juta penganut Hindu hadir pada upacara keagamaan tersebut tahun ini yang antara mereka membawa kavadi, berkaki ayam dan bercukur rambut.

Mereka mengunjungi kuil Sri Subramaniyar Swamy bagi menyatakan kesyukuran, membayar nazar atau menebus dosa masing-masing.

Thaipusam disambut oleh penganut Hindu di seluruh dunia, semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil ‘Thai’.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 7:18 AM