Kuala Lumpur: Sambutan Deepavali diraikan secara sederhana tetapi meriah oleh penganut agama Hindu di seluruh negara.

Sinonim sebagai pesta cahaya, perayaan itu juga disambut dengan mengekalkan semangat muhibah dan keharmonian rakyat berbilang kaum menerusi tradisi rumah terbuka.

Di KUALA LUMPUR, kemuncak sambutan ialah rumah terbuka Deepavali anjuran MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel; timbalannya, Datuk Seri Dr S Subramaniam; menteri-menteri Kabinet dan beberapa pemimpin parti yang lain.

Kira-kira 5,000 anggota masyarakat berbilang kaum menghadiri majlis itu.

Selain itu, perayaan Deepavali di Batu Caves menyaksikan ribuan penganut agama hindu melaksanakan upacara sembahyang mereka seawal jam 6 pagi dengan berpakaian serba baru dan berwarna-warni.

Dalam pada itu, kemeriahan itu tetap dirasai oleh masyarakat India yang terpaksa menyambut perayaan di pusat pemindahan berikutan kejadian tanah runtuh yang menimpa Apartment Teratai di Bukit Beruntung Isnin lalu.

Walaupun terpaksa merayakan Deepavali di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya, 2, dekat sini, namun, ia bukan penghalang untuk menggayakan pakaian tradisional dan bergerak ke kuil berhampiran.

“Memang perasaan sedih tu ada sebab terpaksa sambut di sini, namun saya bersyukur juga sebab kaum lain turut sama memberi sambutan,” kata seorang mangsa.

Di SHAH ALAM, sambutan Deepavali dimulai dengan tradisi mengunjungi kuil di sekitar bandar raya ini dan Klang untuk ‘bersembahyang’.

Penganut Hindu mengambil kesempatan mengadakan rumah terbuka untuk menerima kunjungan saudara mara dan sahabat handai.

Anggota Exco kerajaan negeri Selangor, V Ganabatirau turut mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Seksyen 7.

Di SEREMBAN, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin mengunjungi rumah terbuka anggota Majlis Tertinggi MIC Kebangsaan, yang juga Ketua MIC Bahagian Rembau Datuk V.S. Mogan di rumahnya di Taman Rantau, Rantau dekat sini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Dr. Awaludin Said, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan dan masyarakat pelbagai kaum.

Mohamad dan isteri kemudian mengunjungi rumah terbuka Deepavali Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Kampung Baru negeri yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, L. Manickam di perkarangan Pusat Khidmat DUN Jeram Padang di Taman Saujana, Rompin, Bahau.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron mengunjungi rumah terbuka di rumah bekas exco kerajaan negeri, Datuk S Perumal.

Sementara itu, Little India Melaka di Jalan Bendahara meriah dengan hiasan warna-warni Deepavali yang menarik perhatian para pengunjung.

Beberapa kawasan pelancongan di Melaka terutama di Bandar Hilir dan Ayer Keroh dikunjungi ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Di IPOH, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menghadiri majlis rumah terbuka Setiausaha Perhubungan MIC Negeri, Datuk V Elango di Sitiawan.

Terdahulu, Zambry turut mengadakan lawatan ke rumah A.Valiamah di Ayer Tawar dekat Manjung untuk menyerahkan borang 5A dan permohonan membina rumah.

Di PULAU PINANG, kawasan di sekitar Jalan Air Terjun kelihatan meriah berikutan ribuan penganut agama Hindu berkunjung ke kuil sebelum mengunjungi rumah saudara mara dan rakan.

Kelihatan juga orang ramai termasuk pelancong asing bersiar-siar di sekitar Lebuh Queen, Lebuh Chulia and Jalan Pasar yang merupakan tempat tumpuan semasa perayaan Deepavali yang dihiasi kolam berwarna-warni.

Di KEDAH, sambutan Deepavali diraikan dalam keadaan cuaca cerah di sebelah awal pagi hingga lewat tengah hari.

Beberapa kuil pula kelihatan penuh dengan penganut agama Hindu untuk menunaikan upacara keagamaan mereka.

Tinjauan di sekitar bandaraya Alor Setar pula mendapati keadaan agak lengang ekoran orang ramai mengambil peluang bersama keluarga di rumah pada hari cuti umum ini.

Di KANGAR, usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) M. Kumaran, 53, menganjurkan majlis rumah terbuka di Dewan Rumah Seri Kenangan, bagi memeriahkan lagi sambutan Deepavali tahun ini.

Majlis yang bermula 11 pagi dan berakhir pada 2 petang itu dihadiri kira-kira 500 tetamu antaranya Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Kebajikan Perlis Rela Ahmad dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis Ku Chik Ku Md Isa.

Pada majlis itu Kumaran turut memberi sumbangan wang tunai kepada beberapa badan bukan kerajaan serta warga emas, dan anak-anak yatim sekitar Kangar.

Di KOTA BHARU, perayaan Deepavali disambut meriah dengan tetamu dihidangkan masakan tradisional masyarakat tersebut seperti muruku dan manisan.

Pengerusi MIC Kelantan, M Kuppusamy berkata sambutan Deepavali bermula dengan mandi minyak diikuti mereka mengunjungi kuil.

Katanya, terdapat kira-kira 7,000 masyarakat India di negeri ini yang kebanyakannya tinggal di Kota Baharu dan Kuala Krai.

Di KOTA KINABALU, Pengerusi Perhubungan MIC Sabah, Datuk V Jothi mengerjakan upacara agama serta mengadakan jamuan ringan bersama sahabat dan rakan taulan penganut Hindu di Kuil Sri Pasupathinath Alayam, Bukit Padang.

Jothi berkata sambutan Deepavali memainkan peranan penting dalam mengeratkan lagi semangat setiakawan termasuk dihadiri pelbagai kaum tanpa mengira anutan dan kepercayaan di negara ini khususnya Sabah.

MIC Sabah dijadual mengadakan majlis rumah terbuka Deepavali peringkat negeri di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas pada 26 Okt ini yang dijangka dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Di SARAWAK, walaupun penganut agama Hindu di negeri ini hanya kira-kira 10,000 dan Deepavali bukan cuti umum, perayaan itu tetap disambut meriah.

Sebagai minoriti tidak menghalang penganut Hindu meneruskan amalam tradisi seperti mandi minyak bijan yang melambangkan penyucian badan dan semangat, sebelum mereka mengunjungi kuil.

Antara kuil yang menjadi tumpuan penganut Hindu di Kuching ialah Kuil Sri Srinivasagar Kaliamman, Jalan Ban Hock dan Kuil Sri Maha Mariamman, Batu Lintang. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 12:00 AM