CHONG Wei dijangka tiada masalah untuk layak ke Sukan Olimpik Rio.
CHONG Wei dijangka tiada masalah untuk layak ke Sukan Olimpik Rio.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Wong Choong Hann mengakui Datuk Lee Chong Wei harus memberi tumpuan kepada dua jagoan Denmark, Viktor Axelsen dan Jan O Jorgensen ketika dia berusaha mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Choong Hann yang meraih pingat emas Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, mengakui mana-mana pemain apabila semakin berumur akan mempunyai ramai musuh bukan seorang dua saja.

“Memang Chen Long dan Lin Dan (China) musuh utamanya, tapi saya tengok buat masa sekarang ini Victor (Axelsen) dan Jan O Jorgensen juga mampu menjadi pemain yang harus diberi perhatian,” katanya semalam.

Jelasnya, tidak ada masalah buat Chong Wei melayakkan diri ke temasya terulung itu tahun depan cuma ia bergantung pada tempoh sama ada cepat atau lambat.

“Apabila Chong Wei layak, pemain lain mungkin sulit untuk turut melayakkan diri. Kejohanan semakin berkurangan, Zulfadli Zulkiffli dan Chong Wei Feng harus mencuba sedaya upaya serta mendapatkan keputusan cemerlang di mana-mana kejohanan yang disertai.

“Mereka (Zulfadli dan Wei Feng) harus berbuat demikian di mana-mana kejohanan sebelum akhir tahun ini. Kalau tidak memang sukar, itu pandangan saya,” kata juara Terbuka China dan Belanda 2002 itu.

Choong Hann juga tidak gusar dengan kekalahan luar biasa Chong Wei sebelum ini terutama pada Siri Super Terbuka Korea Selatan, kerana beranggapan ia bukan masalah besar dan disebabkan faktor umur saja.

“Kalau tidak cukup rehat dia tidak boleh memberikan aksi 100 peratus, apabila sudah layak ke Olimpik Rio nanti mungkin dia boleh memperlahankan sikit rentak dan beraksi di kejohanan utama saja.

“Dia akan lebih bersedia untuk kejohanan utama tahun depan, terutama Sukan Olimpik 2016. Saya yakin dia akan berada pada prestasi terbaik. Saya tidak risau keadaannya sekarang kerana pemain berpengalaman tahu keadaan badan mereka sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 5:31 AM