Fardy Bungga

Gombak: Cubaan empat lelaki merompak kedai emas di Jalan besar, Selayang Baru, dekat sini, gagal apabila mereka melarikan diri sebaik dibaling dengan kerusi oleh pemilik kedai.

Dalam kejadian 4 petang tadi, pemilik premis berusia 42 tahun itu difahamkan berada berhampiran kedai emas miliknya sebelum terkejut sebaik terdengar bunyi penggera keselamatan.

Mangsa yang segera kembali ke kedainya melihat empat suspek sedang cuba memecahkan cermin kaca meja pameran sebelum membaling kerusi ke arah penjenayah terbabit yang kemudiannya melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, hasil siasatan awal mendapati empat suspek berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu menaiki sebuah kereta berwarna putih yang gagal dikenalpasti dengan bersenjatakan parang dan tukul.

Katanya, kumpulan penjenayah terbabit gagal melarikan barangan berharga dan pemilik hanya mengalami kerugian dianggarkan RM10,000 selepas cermin kaca tempat barang kemas pecah.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,"katanya dalam kenyataan media hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 9:21 PM