PERSEMBAHAN terakhir Irma dengan seekor ular tedung selar yang kemudian mematuk kakinya di pentas.
PERSEMBAHAN terakhir Irma dengan seekor ular tedung selar yang kemudian mematuk kakinya di pentas.
Agensi

Karawang, Indonesia: Seorang penyanyi dangdut Indonesia maut selepas dipatuk seekor ular tedung selar ketika membuat persembahan dengan haiwan berbisa berkenaan.

Penyanyi yang dikenali sebagai Irma Bule itu terkenal di wilayah Karawang kerana sering beraksi dengan ular berbisa ketika di pentas.

Rakan Irma, Ferlando berkata, penyanyi itu dijemput untuk membuat persembahan di bandar ini pada malam Ahad lalu.

“Pada malam itu, Irma bakal menyanyikan dua lagu dan seperti biasa dia beraksi bersama seekor ular tedung selar.

“Ketika menyanyikan lagu pertama, Irma secara tidak sengaja terpijak ekor ular itu yang menyebabkan ia terus mematuk kakinya.

“Walaupun kakinya dipatuk, Irma tetap meneruskan persembahan sehingga selesai menyanyikan dua lagu,” katanya.

Menurutnya, selepas selesai persembahan Irma pergi ke belakang pentas, tetapi dia tidak mahu menerima rawatan kerana masih berasa sihat.

“Bagaimanapun, selepas sejam, Irma mula berasa mual dan pening sebelum dia pengsan.

“Kami terus membawa Irma ke hospital dan selepas dua jam dirawat doktor mengesahkan dia meninggal dunia,” jelasnya.

Sementara itu, keluarga Irma sehingga semalam masih belum mengebumikan mayat penyanyi itu kerana mahu bedah siasat dijalankan.

Keluarga Irma dilaporkan tidak berpuas hati kerana mendakwa kumpulan dangdut yang disertai penyanyi itu mengabaikan keselamatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 9:06 AM