AKSI PKNP  (merah) menentang Perlis  dalam perlawanan Liga Perdana semalam.
AKSI PKNP (merah) menentang Perlis dalam perlawanan Liga Perdana semalam.

Kangar: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) menang tipis 2-1 ke atas Perlis dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Syed Putra, semalam.

Gol pertama PKNP FC terhasil melalui tandukan Vincent Lucas Weijl yang menumpaskan penjaga gol Mohd Nasril Mat Nourdin pada minit ke-20 separuh masa pertama.

Sungguhpun bermain di bawah bahang cuaca panas dan angin kering, PNKP FC mencipta gol kedua juga menerusi percubaan Weijl pada minit ke-78 selepas pelawat dihadiahkan sepakan percuma di depan gol Perlis.

Perlis merapatkan jurang selepas penyerangnya Brandon Lea Adams menjaringkan penalti selepas pemain Singa Utara dijatuhkan pertahanan PKNP FC pada minit ke-61.

Sungguhpun pasukan bimbingan Razip Ismail berada pada tahap semangat tinggi selepas kemenangan terhadap PDRM dalam perlawanan Piala FA baru-baru ini, rentak itu gagal diteruskan sehingga perlawanan tamat untuk mendapatkan gol penyamaan.

Ketua jurulatih PKNP FC Abu Bakar Fadzim ketika ditemui selepas perlawanan berkata, kemenangan itu tidak disangka kerana anak buahnya baru mengharungi perlawanan Piala FA, 48 jam sebelum perlawanan itu dan sebahagian daripada pemainnya masih kurang rehat.

“Alhamdulillah, sesuatu yang di luar jangkaan sebenarnya bila berjaya mengalahkan Perlis ketika moral pemain mereka sedang tinggi selepas kemenangan dalam saingan Piala FA menentang PDRM baru-baru ini.

“Kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan dan Perlis tidak memberi ruang kepada kami untuk mencari gol sepanjang perlawanan.

“Tiga mata yang dikumpul hari ini (semalam) di Kangar diharap dapat meningkatkan moral pemain PBNK FC kerana kami akan berdepan Terengganu, Selasa depan di tempat lawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 10:35 AM