LUKE SHAW
LUKE SHAW
Reuters

LONDON: Bek kiri England, Luke Shaw percaya tindakan pengendali Manchester United, Jose Mourinho mengkritiknya adalah tepat dan jurulatih dari Portugal itu menjadi faktor dia dipanggil semula menyarung jersi kebangsaan.

Pemain 23 tahun itu tersenarai dalam skuad England buat pertama kali dalam tempoh 18 bulan bagi perlawanan Liga Negara-Negara menentang Sepanyol pada Sabtu ini dan perlawanan persahabatan dengan Switzerland pada Selasa.

Kepulangannya di pentas antarabangsa adalah hasil susulan daripada permulaan musim yang mantap di mana dia beraksi pada setiap perlawanan United selepas bergelut mengisi kesebelasan utama musim lalu, dengan Mourinho lantang mengkritik sikap Shaw.

Ditanya bagaimana dia dilayan oleh pengendali United itu, Shaw berkata: “Saya rasa dia kecewa dengan saya kerana dia tahu saya boleh melakukannya dengan lebih baik. Apabila saya kenang kembali, dia memang betul.

“Saya mengharungi tahun-tahun yang sukar tetapi ia menjadikan mental saya lebih kuat. Saya mahu membuktikan kepadanya yang saya mampu lakukan apa yang dia dakwa saya tidak mampu lakukan. Saya bercakap dengan pengendali sebelum musim bermula dan dia mahu saya kekal.”

Shaw pernah menjadi antara seorang pemain remaja termahal dalam sejarah bola sepak, apabila dia berpindah dari Southampton ke Old Trafford dengan nilai 27 juta pound (RM143.7 juta) pada Jun 2014 ketika berusia 18 tahun, selepas membuat penampilan sulung bersama England beberapa bulan sebelumnya.

Dia menjadi pilihan utama United di bawah kendalian Louis van Gaal sehingga kakinya patah ketika menentang PSV Eindhoven pada September 2015, berehat dua bulan pada musim 2016-17 akibat masalah pangkal paha dan kemudian dua kali menjalani pembedahan di kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 7:23 AM