SHAW patah di dua tempat.
SHAW patah di dua tempat.

Eindhoven, Belanda: Kempen Liga Juara-Juara bagi Manchester United kembali muram apabila tumbang 1-2 di tangan PSV Eindhoven tetapi bukan itu saja, episod malang kelab gergasi Inggeris itu berterusan apabila pertahanan Luke Shaw retak kaki pada aksi Kumpulan B, awal pagi semalam.

Walaupun berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi pemain sayap Memphis Depay, United yang mendominasi keseluruhan permainan, gagal menyempurnakan beberapa peluang sebaliknya Hector Moreno dan Luciano Narsingh memberikan kemenangan buat tuan rumah.

Begitupun, perkara lebih buruk berbanding kekalahan itu adalah kecederaan dialami Shaw ketika permainan baru memasuki minit ke-15 gara-gara terjahan Moreno sekali gus memaksa kaki pertahanan antarabangsa England itu perlu dibedah sebaik kembali ke Manchester.

Shaw terpaksa diusung keluar dan dia turut diberikan bantuan pernafasan sebelum digantikan oleh Marcos Rojo yang tampil buat kali pertama musim ini.

“Memang menakutkan. Ketika dia dibawa masuk ke bilik persalinan, pernafasannya terpaksa dibantu dan dia menangis,” kata pengurus United, Louis van Gaal.

Ketika ditanya mengenai berapa lama masa yang diperlukan Shaw untuk sembuh, Van Gaal berkata: “Saya bukan doktor dan saya tidak boleh menjangka apa-apa. Kakinya patah di dua tempat dan biasanya ia mengambil masa enam bulan.”

Selepas kira-kira setengah jam dibawa keluar, Shaw menulis dalam laman Twitter dan berkata, dia pasti sembuh sepenuhnya tidak lama lagi.

“Terima kasih buat semua atas keprihatinan anda. Saya tiada kata-kata tepat untuk menghargainya. Proses penyembuhan saya bermula sekarang dan saya akan kembali,” katanya.

Pemain antarabangsa Mexico, Moreno yang turut berdepan masalah sama ketika Piala Dunia tahun lalu, memohon maaf atas tindakannya itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 5:50 AM